Utusan Malaysia: SPR guna peti undi lut sinar

PUTRAJAYA, 1 Jun – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melakukan pembaharuan pada pilihan raya umum ke-12 dengan memperkenalkan peti undi lut sinar dan titik dakwat atas kuku pengundi bagi mengelakkan penipuan.

Pengerusinya, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman berkata, peti lut sinar itu bagi menggantikan peti besi hitam yang digunakan sejak pilihan raya umum pertama pada 1955.
Katanya, kedua-dua langkah terbaru itu bertujuan untuk memperlihatkan ketelusan di kalangan pengundi dan parti yang bertanding.
“Dengan menggunakan peti undi lut sinar semua pihak dapat melihat pergerakan kertas undi dengan lebih mudah. Mereka juga boleh memantau apa jua benda yang terdapat di dalam peti undi itu sama ada kertas undi atau sebaliknya.
“Mengenai sistem titik dakwat pula, meskipun SPR pada dasarnya telah bersetuju tetapi ia masih tertakluk pada hasil kajian memandangkan cadangan itu tertakluk kepada undang-undang pilihan raya.
“Jika sempat, kita akan cuba laksanakannya pada pilihan raya umum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sistem serta peraturan baru pada pilihan raya umum ke-12 nanti yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
Ketika ditanya mengenai jumlah peti undi lut sinar yang perlu disediakan oleh pihak SPR, Ab. Rashid berkata, untuk pilihan raya umum pihaknya memerlukan 60,000 peti undi.
“SPR dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) telah melantik sebuah syarikat untuk menyiapkan 60,000 peti undi lut sinar ini. Kita jangka semuanya akan dapat disiapkan sebelum pilihan raya umum akan datang