BERSIH representatives handed over a memorandum to the Police at Bukit Aman on 21 September 2007 at 11am.
_______________________________________________________________________________
TRAGEDI PENEMBAKAN DI PANTAI BATU BUROK, KUALA TERENGGANU SEMASA KONVENSYEN RAKYAT ANJURAN GABUNGAN PILIHANRAYA BERSIH DAN ADIL (BERSIH)
21 SEPTEMBER 2007
– – – – – – – – – – – – – – – – – –
Memorandum kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan Berkaitan dengan Kenyataan Ketua Polis Terangganu, Datuk Ayub Yaakob
LATAR BELAKANG
Berkaitan dengan tragedi penembakan anggota polis sehingga menyebabkan kecederaan kepada dua orang yang hadir ke ceramah BERSIH pada 8hb September lalu, Ketua Polis Terngganu, SAC I, Datuk Ayub Yaakob telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang bercanggah sehingga kenyataan-kenyataan tersebut menjadikan beliau seorang yang tidak konsisten dan mencabar sikap profesionalisme beliau sebagai Ketua Polis Negeri.
Melalui kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan itu, tragedi tersebut telah didedahkan kepada tiga perkara pelik:
KANDUNGAN
Perkara Pertama: Bilangan Das Tembakan
i. Antara laporan terawal yang dikeluarkan Malaysiakini menyebut:
Katanya, semasa terjatuh penyerang terbabit berterusan menyerang anggota itu sehingga terkena di bahagian kepala menyebabkan anggota itu terpaksa mengeluarkan senjata dan melepaskan satu das tembakan bagi tujuan mempertahankan diri.
Ayub berkata, tembakan itu berjaya menyuraikan kelompok lelaki yang menyerangnya dan anggota polis berkenaan mengambil kesempatan itu untuk menyelamatkan diri dengan pergi ke arah pasukan FRU yang berada di kawasan berhampiran.
ii. Dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 10 September 2007:
Ketua Polis Terengganu, Datuk Ayub Yaakob pada sidang akhbar hari ini berkata, seorang polis berpangkat konstabel terpaksa melepaskan dua das tembakan untuk mempertahankan dirinya setelah dipukul oleh 20 lelaki ketika dia mengawal keadaan di tempat letak kereta Hotel Permai Inn menyebabkan dua perusuh cedera.
iii. Dikekalkan kenyataan tersebut dalam laporan 11 September 2007:
Dalam kejadian pukul 9 malam kelmarin, kira-kira 750 orang dipercayai penyokong parti pembangkang merusuh dan menyerang polis selepas diarahkan bersurai daripada menghadiri satu perhimpunan haram di Jalan Sultan Mahmud malam kelmarin.
Seorang konstabel polis terpaksa melepaskan dua das tembakan untuk mempertahan diri setelah dipukul oleh 20 lelaki di tempat letak kereta Hotel Permai Inn menyebabkan dua perusuh terlibat cedera.
iv. Tetapi bilangan tembakan ‘dinaikkan jumlahnya’ sebagaimana lapor Malaysiakini dalam edisi 11 September 2007:
Anggota polis yang melepaskan tembakan ketika berlaku satu pergelutan di Kuala Terengganu malam Sabtu lalu, telah melepaskan empat das tembakan.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Ayub Yaakob mengesahkan perkara itu ketika dihubungi petang ini.
Dalam insiden seumpama ini, kenapa boleh wujud kecelaruan sebegini? Melainkan das tembakan tersebut dilepaskan oleh pistol yang mempunyai silencer, kami kira pasti orang awam dan saksi-saksi boleh mengecam berapa das tembakan yang dilepaskan.
Perkara Kedua: Identiti Penembak
i. Laporan Utusan Malaysia hari ini, 12 September 2007:
Dalam kejadian malam Sabtu lalu, perusuh dipercayai penyokong parti pembangkang merusuh selama kira-kira lima jam di Jalan Sultan Mahmud di sini sehingga menyebabkan kerugian harta benda awam mencecah RM500,000.
Dua lelaki yang berumur 21 dan 38 tahun cedera di leher dan bahu akibat ditembak oleh seorang anggota polis yang cuba mempertahankan diri selepas diserang oleh sekumpulan lelaki. Seorang anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU), Azmi Hussein, 29, juga luka di tangan akibat terkena kaca dalam rusuhan tersebut.
ii. Tetapi lain pula kenyataan yang diberikan oleh CPO Terengganu kepada Malaysiakini pada 11 September 2007:
Ketua Polis Terengganu, Datuk Ayub Yaakob mengesahkan perkara itu ketika dihubungi petang ini.
Beliau juga menjelaskan bahawa anggota polis tersebut bukan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU), Azmi Hussein, 29, seperti yang dilaporkan sebelum ini. Anggota polis yang dikatakan melepaskan tembakan tersebut selepas diserang 20 lelaki, dikenalpasti sebagai Wan Abdul Aziz, 25.
Dalam keadaan polis tersebut berpakaian preman dan bukan menggunakan perisai FRU yang boleh menyembunyikan identiti beliau, adalah satu perkara yang pelik sekiranya identiti sukar dikenalpasti. Dan kalau itu bukan FRU, dari cawangan mana polis tersebut datang?
Perkara Ketiga: Kecederaan Pihak Polis
i. Lapor Utusan Malaysia, 10 September 2007:
Selain itu, tambah beliau, seorang anggota FRU dan seorang lagi perusuh turut dimasukkan ke hospital sama akibat kecederaan dipercayai terkena kaca dan batu.
ii. Dalam The Star 11 September 2007 dikatakan ada alat tambahan, iaitu kayu:
About 20 men armed with sharp weapons and sticks then spotted Kons Azmi and shouted “This man is Special Branch!” before assaulting him.
SAC Ayub said Kons Azmi, 29, was beaten until he collapsed, bleeding from the head.
iii. Tetapi sedikit berbeza dalam Utusan Malaysia hari ini, 12 September 2007:
Empat anggota polis termasuk tiga daripada Unit Simpanan Persekutuan (FRU), cedera diserang dan dibaling termasuk dengan bom api, dipercayai oleh penyokong parti pembangkang.
Kenapa secara tiba-tiba datang ‘bom api’ sebagai bahan yang digunakan ke atas pihak polis? Ini sekadar satu kekeliruan, dan pastinya ia menuntut penjelasan.
KESIMPULAN DAN DESAKAN
* Undang-undang hak asasi manusia antarabangsa telah menetapkan syarat yang jelas dalam penggunaan kekerasan dan senjata api di kalangan anggota-anggota pihak berkuasa.
* Artikel 3 dalam United Nations Code of Conduct for Law Enforcement Officials jelas menyebut bahawa penggunaan kekerasan terhadap orang awam hanyalah pada ketika diperlukan sahaja.
* Artikel 12 dalam United Nations Basic Principles on the Use of Force and Firearms by Law Enforcement Officials membenarkan seseorang berhimpun secara aman.
* Artikel 13 dalam United Nations Basic Principles on the Use of Force and Firearms by Law menyebut bahawa mengelak aripada menggunakan kekerasan ketika menyuraikan sesebuah perhimpunan, kekerasan minima sahaja diperlukan dalam usaha penyuraian.
* Sikap menukar kenyataan yang dikeluarkan berkaitan dengan tindakan anggota polis seolah-olah Datuk Ayub Yaakob cuba untuk melindungi kesilapan yang dibuat oleh anggotanya sewaktu menjalankan tugas mereka dan cuba menjadikan insiden tersebut di bawah perlindungan undang-undang yang dinyatakan.
JUSTERU, KAMI MENDESAK AGAR DATUK AYUB YAAKOB:
* Bersikap professional dalam tugas beliau dan bertanggungjawab dalam setiap kenyataan yang dikeluarkan.
* Dipersoalkan oleh pegawai polis peringkat tertinggi mengenai sikap beliau yang bertukar-tukar fakta.
* Tidak mengulangi perbuatan yang sering menukar fakta dalam kenyataan beliau.