Peluru hidup di Myanmar, Batu Burok

Subky Latif (Harakahdaily)
Oct 01, 07

Seluruh dunia bangun serentak mengutuk junta Myanmar melepaskan peluru hidup bagi menyuraikan tunjuk rasa pimpinan sami Buddha membabitkan 100,000 manusia.

Dengan melepaskan peluru hidup itu ramai yang mati. Ketika rencana ini ditulis bilangan kematian yang disebutkan belum pun 20 orang tetapi dipercayai jumlahnya adalah lebih besar.
Keengganan junta tunduk kepada unjuk rasa itu dapat difahami. Kalau Presiden Bush yang memimpin negara dan masyarakat demokrasi Amerika belum tunduk kepada bantahan ratusan ribu rakyatnya supaya berundur dari Iraq, maka tiada siapa dapat memikirkan junta Myanmar yang tiada peduli dengan opinion dunia akan melayan unjuk rasa pimpinan sami itu.
Mengarahkan polis antiperhimpunan seperti memukul dengan cota dan pancutan air serta gas pemedih mata adalah hal biasa bagi polis semua negara bagi mencegah perhimpunan, tetapi penggunaan peluru hidup tidak boleh diterima di mana-mana juga.
Penggunaan peluru hidup yang polis Terengganu gunakan di Batu Burok pada 8 September dulu dibantah oleh semua NGO dan parti pembangkang. Semua yang membantah tindakan junta Myanmar melepaskan peluru hidup bagi menangani unjuk rasa rakyatnya itu tentunya juga tidak suka dengan kejadian polis di Batu Burok melepaskan peluru hidup menyebab seorang tenat.
Tamadun dunia telah sepakat peluru hidup tidak digunakan dalam pencegahan perhimpunan seperti itu. Tidak dapat diterima peluru hidup digunakan di luar peraturan perintah berkurung dan peperangan. Ia adalah amalan teroris.
Junta Myanmar adalah begitu. Ia bukan sekadar tidak tunduk kepada kebangkitan rakyat sekalipun oleh sami yang dihormati oleh bangsanya, tetapi ia tidak peduli langsung dengan pandangan antarabangsa. Yang suka dengan junta itu hanya junta itu saja.
Yang dibuat oleh junta itu adalah yang dibuat oleh komunis China di bawah Deng Zhiopeng bagi mematahkan kebangkitan prodemokrasi sebelum rejim itu membuka masyarakatnya kepada perkembangan dunia dulu.
Maka pihak yang boleh menerima kejadian di Batu Burok itu adalah orang yang sealiran tindakan dan pemikiran junta Myanmar dan China dulu.
Kalau dunia boleh mengutuk junta melepaskan peluru hidup bagi membunuh unjuk rasa tegar di Myanmar, maka boleh dan patut dikutuk tindakan melepaskan peluru hidup di Batu Burok.
Kekejaman di Myanmar itu adalah bagi mempertahan dan menyelamatkan junta yang tidak dihendaki rakyat selama 43 tahun ini. Maka orang-orang gila junta tiada pilihan melainkan sedia berperang dengan rakyatnya.
Di Batu Burok kekejaman yang tidak sebesar di Myanmar itu tidak sepatutnya berlaku. Ceramah NGO yang tidak puas hati dengan perjalanan SPR dibuat dalam suasana demokrasi dan ia belum dibuktikan boleh menumbangkan kerajaan secara tidak berperlembagaan.
Ceramah yang dijadualkan itu seperti yang sudah berlaku di situ beberapa kali belum pernah menumbangkan kerajaan yang dipilih rakyat, baik pilihan raya itu bersih atau penuh penipuan.
Sami Buddha yang memimpin rakyat ke jalan raya kerana demokrasi telah lama mati di Myanmar. Mereka mahu menghidupkan demokrasi itu. Mereka terpaksa membayar harga yang mahal untuk mendapatkan demokrasi. Seperti rakyat Indonesia menuntut demokrasi dari kerajaan Suharto terpaksa membayarnya dengan beberapa jiwa pelajar.
Bersih, badan ad hoc yang menganjurkan ceramah di Batu Burok yang tidak benarkan oleh polis itu adalah hendak menyelamatkan demokrasi di Malaysia. Demokrasi di Malaysia belum sampai ke peringkat yang di Myanmar. Tetapi kalau SPR dan saki baki demokrasi yang tidak dicek dan jaga, maka ia boleh dekat dengan suasana di Myanmar kalau pun tidak jadi seperti di Myanmar.
Kalau demokrasi yang ada sedikit itu hilang, maka rakyat Malaysia terpaksa membayar harga setinggi yang dibayar oleh sami di Myanmar. Sebelum bala itu datang maka golongan prodemokrasi yang ada bersama pembangkang sekarang menjalankan kegiatan yang dibenarkan oleh demkrasi.
Tetapi pemikiran seperti junta Myanmar itu mulai ada dalam kepala golongan pemerintah, lalu menggunakan polis menyekat gerakan prodemokrasi rakyat Malaysia itu.
Sami di Myanmar berjuang untuk mendapatkan demokrasi yang lama hilang. Pembangkang di Malaysia mahu menghalang demokrasi dari mati. Demokrasi masih ada di Malaysia tetapi ia uzur dan boleh mati.
Ubat bagi memulihkan demokrasi di Malaysia itu adalah menuntut dibenarkan ceramah dan menuntut supaya SPR dan polis dan lain-lain dibebaskan daripada cengkaman Umno dan BN.
Polis dipercayaii dipaksa Umno tidak mengeluarkan permit ceramah di Batu Burok. Pemimpin PAS pernah berdialog dengan Tun Hanif Omar semasa beliau masih KPN. Ceramah tidak dibenarkan tanah lapak milik awam. Apabila dibawa ke rumah, pastikan rumah itu tidak berjiran dengan rumah parti lain.
Di mana di Malaysia rumah orang PAS tidak berjiran dengan rumah orang Umno? Di mana rumah orang Umno tidak berjiran dengan rumah orang PAS? Tun Hanif Omar nampak rasionalnya. Polis Terengganu dulu tidak seketat sekarang.
Dalam menjalankan perahan UMNO itu kejadian Batu Burok itu dirancang apabila Bersih yang disokong pembangkang hendak meneruskan juga ceramah. Seperti biasa tanpa permit polis ceramah berjalan aman dan berakhir aman.
Suasana berlangsung baik semasa polis Terengganu dipimpn oleh Dato Yusuf Jaafar. Tiada apa-apa semasanya.
Tetapi Umno tidak mahu suasana itu. Polis perah untuk politik berotak Myanmar. Dalam kejadian Batu Burok berlaku bermacam-macam- macam yang tidak pernah berlaku di tempat lain seperti bakar membendera, memecahkan alat-alat awam. Ada rusuhan.
Pembangkang minta diadakan suruhanjaya siasatan diraja. Bagi memastikan apakah ia gara-gara polis ditekan Umno atau betul pembangkang sebagai yang diburukkan.
Hitler pernah merancang pembakaran Parlimen Jerman ketika dia baru berkuasa. Dituduhnya komunis membakarnya. Maka ditangkap dan dibunuhnya gerakan komunis. Bukan mustahil ia boleh ditiru.