Tarikh: 6 November 2007
YB Tan Sri Abu Talib Othman
Pengerusi
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
Tingkat 29 Menara Tun Razak
Jalan Raja Laut
50350 Kuala Lumpur
DENGAN FAKS (03-26125620) & POS
PEMANTAUAN PERHIMPUNAN RAKYAT AMAN YANG DIANJURKAN OLEH KOALITION BERSIH PADA 10 NOVEMBER 2007 DARI DATARAN MERDEKA KE ISTANA NEGARA
Dengan segala hormatnya, kami merujuk kepada perkara di atas.
Pertama sekali, kami ingin mengucapkan ribuan tahniah ke atas laporan pihak SUHAKAM berkenaan insiden di KLCC pada 28 Mei 2006. Terima kasih juga kerana telah memanjangkan sesalinan laporan tersebut kepada ahli-ahli Majlis Peguam. Selaras dengan representasi Majlis Peguam semasa siasatan tersebut, kami bersetuju dengan rumusan-rumusan dan cadangan-cadangan pihak SUHAKAM dalam laporan tersebut.
Keduanya, koalition BERSIH telah menulis kepada Majlis Peguam melalui suratnya bertarikh 10 Oktober 2007 untuk pihak kami menghantar pemantau-pemantau bagi tujuan membuat dokumentasi dan pemerhatian perarakan tersebut.
Bagi pihak Majlis Peguam, kami dengan rendah diri ingin memaklumkan YB Tan Sri bahawa Majlis bersetuju untuk menghantar lebih kurang 20-30 pemantau-pemantau.
Selanjutnya, kami bercadang untuk bekerjasama dengan pihak SUHAKAM dalam proses pemantauan tersebut jika pihak SUHAKAM bersetuju membuat pemantauan yang sama.
Pada pendapat kami, peranan pihak SUHAKAM amat penting dalam perhimpunan-perhimpunan semacam ini, dan kami berharap bahawa kehadiran pemantau-pemantau dari kedua-dua organisasi SUHAKAM and Majlis Peguam dapat menolong memastikan satu perhimpunan yang sempurna tanpa kejadian-kejadian yang tidak diingini.
Kami dengan rendah diri ingin memohon untuk satu mesyuarat tertutup dengan pihak SUHAKAM untuk membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut.
Sekian. Terima kasih.
Yang benar
EDMUND BON TAI SOON
Pengerusi
Jawatankuasa Hak-Hak Asasi Manusia
sk. 1. Ambiga Sreenevasan
Presiden
Majlis Peguam
2. Sekretariat BERSIH