Parliament Question 7 May 2008 #57

Tuan Fong Kui Lun [DAP-Bukit Bintang] to ask PRIME MINISTER to state the reason to call off the use of indelible ink at the eleventh hour before the last general election, the purchasing cost and the loss borne by EC and the reason that there were postal ballot papers not being return or lost before 5pm on the election day and state the constituencies involved.

ANSWER:
Tuan yang Di Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, tujuan utama SPR hendak melaksanakan penggunaan dakwat kekal adalah untuk mempertingkatkan lagi ketelusan di dalam Pilihan Raya Umum ke-12. Ini kerana terdapat dakwaan-dakwaan daripada pihak-pihak tertentu yang mengatakan bahawa ada pengundi-pengundi yang akan cuba mengundi lebih dari sekali. Justeru itu, dengan penggunaan dakwat kekal ia dapat mengelakkan mana-mana pihak untuk mengundi lebih daripada sekali. Oleh yang demikian, persiapan awal yang sewajarnya untuk melaksanakan cadangan penggunaan dakwat kekal telah dibuat oleh SPR.
Namun begitu, SPR telah menerima laporan daripada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang mengesahkan bahawa wujudnya pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab telah memperolehi bekalan dakwat kekal daripada negara jiran. Mereka telah merancang mengeksploitasikan penggunaan dakwat kekal dengan cara memujuk pemilih-pemilih terutamanya dari masyarakat luar bandar dan pendalaman supaya terlebih dahulu mencalit dakwat kekal di atas kuku masing-masing sebelum hari mengundi. Aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini boleh menyebabkan timbulnya ketegangan di saluran-saluran mengundi kerana petugas-petugas pilihan raya sudah tentu tidak akan mengeluarkan kertas undi kepada mereka yang telah dicalitkan dakwat kekal di atas kuku masing-masing, sedangkan pada kahikatnya mereka belum lagi mengundi.
Selain dripada itu, ejen-ejen mengundi juga sudah tentu akan membantah mereka yang sudah dicalit dakwat kekal di atas jari kuku masing-masing daripada cubaan mengundi kali kedua. Apa yang berlaku ialah mereka telah diperdayakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Jika ketegangan di antara pengundi dan ejen-ejen mengundi berlaku di saluran mengundi d seluruh negara, pihak polis sudah memaklumkan kepada SPR bahawa mereka tidak mampu untuk mengawal ketegangan yang mungkin berlaku sehingga boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam serta huru-hara pada hari mengundi. Justeru itu, pihak polis telah menasihatkan SPR supaya menarik balik cadangan penggunaan dakwat kekal ini dan SPR akur dengan cadangan tersebut.
Di samping itu Ahli Yang Berhormat sekelian perlu maklum bahawa dari segi undang-undang, SPR perlu menarik balik cadangan penggunaan dakwat kekal ini disebabkan peruntukan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan telah menjamin hak seseorang pemilih berdaftar untuk mengundi. Ini bermakna hak ini tidak boleh dinafikan kecuali jika pemilih berdaftar itu hilang kelayakan untuk mengundi di bawah undang-undang. Hak ini merupakan hak asasi seseorang pemilih berdaftar. Undang-undang yang memperuntukkan selainnya adalah ultra vires Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan. Ini juga bermakna bahawa seseorang yang kukunya kelihatan telah dicalit dengan dakwat kekal atau seseorang yang enggan kukunya dicalit dengan dakwat kekal tidak boleh dinafikan haknya untuk mendapatkan kertas undi.
Perkara-perkara yang disebutkan tadi telah menjadi bahan perbincangan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang  diadakan pada 13 Februari 2008 (Hari Pembubaran). Jemaah Menteri telah menolak cadangan SPR untuk memperundangkan cadangan penggunaan dakwat kekal di atas jari kuku pengundi di dalam Pilihan Raya Umum ke-12. Oleh itu amat sukar untuk SPR melaksanakan cadangannya dan dengan itu SPR bersetuju menarik balik cadangan penggunaan dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, SPR tidak pernah menolak cadangan asalnya untuk memperkenalkan kaedah penggunaan dakwat kekal dan masih bersetuju untuk melaksanakan kaedah tersebut. Kaedah itu boleh dilaksanakan jika masalah undang-undang dan keselamatan yang dinyatakan di atas itu dapat diatasi. SPR akan meminta pihak-pihak yang berwajib untuk mengkaji undang-undang dan menyediakan peruntukan yang sesuai bagi membolehkan kaedah ini dilaksanakan tanpa menjejaskan hak asasi seorang pengundi seperti mana yang dikehendaki oleh perkara 119 Perlembagaan Persekutuan. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, sejumlah RM2.98 juta telah dibelanjakan untuk membeli dakwat kekal bagi kegunaan Pilihan Raya Umum Ke-12.
Tuan Yang Di Pertua,
Berhubung dengan soalan mengenai kertas undi pos yang tidak dikembalikan selepas jam 5.00 petang, perkara tersebut adalah di luar kawalan SPR. Pengundi yang layak mengundi secara pos dan memperolehi kertas undi tersebut adalah bertanggungjawab untuk mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus melalui kaedah yang telah ditetapkan seperti memasukkan ke dalam beg berkunci atau menghantarnya melalui pos supaya ianya sampai ke pejabat Pegawai Pengurus sebelum jam 5.00 petang. Mana-mana kertas undi pos yang diterima lewat dripada jam 5.00 petang, kertas undi pos tersebut tidak akan dikira dan ianya dianggap sebagai kertas undi pos yang tidak dikembalikan.
Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen yang banyak terlibat dengan undi pos adalah P.52 Bagan Baru, Pulau Pinang; P.74 Lumut, Perak; P.98 Gombak, Selangor; P.118 Setiawangsa, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; P.132 Telok Kemang, negeri Sembilan; P.136 Tangga Batu, Melaka dan P.173 Putatan, Sabah.