Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap] to ask the PRIME MINISTER to state the reasons that the confession of the candidates in the last election were revoked by EC at the eleventh hour.
ANSWER:
Tuan Yang Dipertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mendapat nasihat di saat-saat akhir sebelum hari penamaan calon daripada Jabatan Peguam Negara supaya Akuan Berkanun Orang Yang Dinamakan Sebagai Calon Pilihan Raya bagi Ahli Dewan Rakyat (Borang 5) dan Dewan Undangan Negeri (Borang 5A) hendaklah dimatikan setem. Kekeliruan ini berbangkit kerana peruntukan peraturan 4(7) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 tidak menetapkan bahawa Borang 5 dan 5A itu dikecualikan daripada bayaran duti setem sedangkan Borang 5 dan 5A berkenaan telah dicatat dengan perkataan duti setem dikecualikan. Memandangkan peruntukan undang-undang aitu Peraturan 4(7) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 tidak mengecualikan Borang 5 dan 5A daripada bayaran duti setem, maka Jabatan Peguam Negara menasihatkan SPR supaya menentukan calon-calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-12 membuat pembayaran dan mematikan duti setem di atas Borang 5 dan 5A berkenaan.
Berasaskan kepada nasihat dariapda Jabatan Peguam Negara itu, SPR telahpun memaklumkan keperluan mematikan duti setem di atas Borang 5 dan 5A kepada semua Pegawai Pengurus dan parti politik supaya menentukan calon masing-masing mematuhi peraturan yang ditetapkan itu.
Tuan Yang DiPertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, SPR tidak pernah membatalkan arahan supaya mematikan duti setem di atas Borang 5 dan 5A sebagaimana yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat daripada Padang Terap itu. Apa yang dilakukan oleh SPR ialah meminta mana-mana Pegawai Pengurus yang telah menerima kertas penamaan calon bersama Borang 5 dan 5A yang tidak dimatikan duti setem supaya merujukkannya terlebih dahulu kepada SPR untuk mendapat keputusan muktamad. Tujuan SPR berbuat demikian adalah untuk memberi peluang kepada mana-mana calon yang tidak mendapat maklumat mengenai keperluan untuk mematikan duti setem di atas Borang 5 dan 5A itu tidak menghadapi kemungkinan kertas penamaan calon masing-masing ditolak.