Kemenangan Buat Kebenaran
Kenyataan Media Bersama, 13 November 2013
Hari ini, akhbar The New Straits Times (NST) sudah pun menyatakan permohonan maaf di dalam mahkamah terbuka atas kesalahan menerbitkan artikel fitnah dan tidak berasas pada 21 September 2012 yang lalu di dalam akhbar dan portal berita mereka; sekaligus menamatkan kes saman fitnah yang dikemukakan ke atas mereka oleh BERSIH 2.0, SUARAM, Centre for Independent Journalism (CIJ) dan Merdeka Centre (plaintif). NST juga telah bersetuju membayar kos guaman pihak kami. Kami dengan ini mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pasukan peguam di atas sokongan, nasihat, dan kerja keras mereka sepanjang kes ini berlangsung.
BERSIH 2.0, SUARAM, CIJ dan Merdeka Centre bukanlah gerakan yang bertujuan untuk menumbang atau menggugat kestabilan Kerajaan Malaysia, apalagi menghancurkan ekonomi negara. Sebaliknya, gerakan ini bertujuan untuk mengangkat perjuangan rakyat Malaysia yang menuntut perubahan politik sebenar melalui pilihan raya bersih, bebas dan adil, serta prinsip akauntabiliti dan ketelusan. Keputusan hari ini adalah bukti kepada kedudukan sebenar kami serta kemenangan buat rakyat.
Salah satu perkara pokok dalam hal ini adalah bahawa kami (plaintif) sentiasa mengangkat semangat dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas negara. Atas dasar inilah, kami sentiasa menekankan pengukuhan institusi berkaitan termasuklah media yang sentiasa seharusnya bertanggungjawab memastikan wujudnya pilihan raya yang bersih, bebas dan adil, serta terutama sekali pemerkasaan demokrasi dalam negara.
Media yang bertanggungjawab dan bebas serta melaporkan berita dengan penuh integriti adalah kunci penting dalam usaha mengukuh dan memperkasakan demokrasi. Kegagalan untuk berbuat demikian perlu dikecam dan dianggap sebagai pengkhianatan kepada rakyat yang sentiasa berhak untuk mendapatkan laporan dan berita yang benar.
Hari ini, kebenaran telah mengatasi penipuan. Namun kita faham, perjuangan menuntut kebenaran ini belum tamat dan hanya akan berakhir setelah perubahan yang diperjuangkan berjaya digapai sepenuhnya dari segenap prinsip. Seluruh rakyat harus terus bergandingan memperjuangkan cita-cita.
- Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 , Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0)
- Centre for Independent Journalism
- Merdeka Center
- Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)