KENYATAAN MEDIA (7 April 2014):
Pengerusi BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah menggesa orang ramai supaya ke Mahkamah Tentera TUDM di Sungai Besi, Kuala Lumpur esok untuk menunjukkan sokongan kepada Mejar Zaidi Ahmad yang akan dibicarakan kerana melanggar peraturan tentera.
Maria berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur pagi tadi.
Sasterawan Negara A. Samad Said turut hadir untuk melafazkan sajak yang digubahnya khas untuk bersuara mengenai keadaan semasa, termasuk kes Mejar Zaidi.
“Bunyinya seperti biasa amat manis tapi isinya amat pahit,” kata bekas pengerusi bersama BERSIH 2.0 tersebut sebelum memulakan deklamasi sajaknya yang bertajuk “Diiringi Sejarah”, yang berakhir dengan kata-kata ini:
“Kita tak menunggu untuk dilakar sejarah,
kita mendaki dan sejarahlah di sisinya.”
Tepat sekali untuk kes Mejar Zaidi, yang menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan dengan perbuatan beliau dalam mengeluarkan kenyataan media mengenai dakwat ‘kekal’ tanpa kebenaran Kementerian Pertahanan dan menghantar dua SMS yang berbau politik.
Maria berkata BERSIH 2.0 dan 40 badan bukan pertubuhan kerajaan yang lain telah mengeluarkan kenyataan bersama Ahad lalu untuk menyatakan sokongan mereka terhadap Mejar Zaidi.
Mereka menggesa Majlis Angkatan Tentera supaya menggugurkan kesemua tujuh pertuduhan terhadap Mejar Zaidi, yang mereka anggap sebagai wira kerana berprinsip dan berani bersuara mengenai kebenaran.
Pakar undang-undang perlembagaan Prof. Dr. Abdul Aziz Bari yang turut hadir di sidang media pagi tadi memberi peringatan mengenai hak kebebasan bersuara semua rakyat Malaysia, termasuk kakitangan kerajaan, yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
“Terdapat 1.3 juta kakitangan awam, termasuk tentera, yang juga pembayar cukai, yang mempunyai hak sepenuhnya sebagai warganegara untuk mengambil berat mengenai sebarang kesalahan dan bertindak terhadapnya.”
Tambah Aziz, Akta Angkatan Tentera, di bawah mana Mejar Zaidi disabitkan kesalahan, perlu dibaca dalam konteks perlembagaan kerana Malaysia dalam keadaan aman sekarang.
Aziz juga menyifatkan pertuduhan Mejar Zaidi sebagai “tindakan bodoh” yang akan menjadi kecaman atau memalukan lagi Malaysia di mata dunia berikutan kritikan hebat media antarabangsa terhadap pengendalian kerajaan dalam krisis MH370.
“Kerajaan tidak bertindak ke atas Suruhanjaya Pilihan Raya dan pembekal dakwat [atas kegagalan dakwat kekal] tetapi yang dikenakan tindakan ialah seorang rakyat yang prihatin.
“Mejar Zaidi sebenarnya telahpun dihukum apabila tidak dibenarkan terbang seperti yang lazimnya. Ini satu kezaliman…Mejar Zaidi tidak melakukan jenayah.”
Di sidang media yang sama, Ahli Parlimen Lumut YB Mohamad Imran Abdul Hamid berkata Mejar Zaidi merupakan seorang juruterbang khusus yang terlatih dan jika beliau dihukum, negara akan kehilangan seorang warga tentera yang berpengalaman.
Sementara itu, Lt. Kol. (B) Hj Mohd. Nazari b. Hj. Mokhtar, yang turut hadir untuk menunjukkan sokongan dalam isu ini, namun menambah bahawa punca masalah kes Mejar Zaidi adalah kerana tindakan beliau dilakukan ketika dalam pakaian seragamnya, kerana pada hakikatnya, memang ada pegawai tentera dan polis yang membuat aduan mengenai dakwat kekal tetapi tidak dikenakan tindakan kerana mereka dalam pakaian biasa ketika itu.
Namun Maria menegaskan bahawa perbuatan Mejar Zaidi kena dilihat dalam konteks yang lebih luas.
“Fahami kenapa beliau mengambil tindakan sedemikian, iaitu kerana beliau mempunyai prinsip, mengenai pilihan raya umum yang bersih dan adil.
“Bukannya kenakan hukuman undang-undang terhadap beliau.”