SIARAN MEDIA (9 April 2014)
Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tahun lalu, 51% rakyat Malaysia mengundi untuk perubahan tetapi tidak berjaya mengubah lanskap politik negara.
Antara penjelasan utama fenomena ini ialah ketidak seimbangan agihan pengundi yang keterlaluan (gross malapportionment), begitulah penemuan Tribunal Rakyat PRU13 anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) baru-baru ini.
“Sejak dari dulu lagi, BERSIH 2.0, sudah membangkitkan isu ketidak adilan persempadanan kawasan pilihan raya yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR),” kata pengerusi gabungan tersebut, Maria Chin Abdullah.
“Dan sekarang, Tribunal Rakyat yang dianggotai lima pakar pilihan raya antarabangsa dan dalam negara, sudah mengesahkannya setelah mendengar saksi serta mengkaji bukti yang dikemukakan sepanjang enam hari pada bulan September tahun sebelum ini. Justeru, ini bukan lagi satu tuduhan melulu, tetapi satu kebenaran,” tambah Maria.
“Kerana itulah BERSIH 2.0 dengan usahasama ENGAGE melancarkan projek Delineation Action and Research Team (DART), atau Pasukan Tindakan & Kajian Persempadanan, pada 9 Mac yang lalu. Tujuan DART adalah untuk menggalakkan penglibatan rakyat dalam proses persempadanan yang bakal dilaksanakan SPR pada bila-bila masa, dan mencegah persempadanan yang tidak adil,” kata Maria.
Selaras dengan itu, cogankata DART ialah: “Kita mengundi; kita tentukan sempadan!”
Maria berkata bahawa seramai kira-kira 300 orang sudah dilatih oleh projek ini untuk bersedia menyuarakan bantahan terhadap penyelewengan persempadanan seperti “malapportionment” dan “gerrymandering”, dengan berpandukan syarat-syarat yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Projek seluruh negara ini, yang sudah menjelajah ke sembilan bandar dan pekan utama di Semenanjung dan Sarawak, akan ke Sabah minggu ini,” kata Maria.
Naib Pengerusi Sabah BERSIH 2.0 Jannie Lasimbang menyeru rakyat Sabah supaya datang ke bengkel DART yang akan diadakan di Penampang, Tawau dan Sandakan, bermula 11 April (Jumaat) hingga 13 April (Ahad).
“Ini merupakan peluang keemasan untuk mengenali proses persempadanan yang dibuat oleh SPR. Semua rakyat yang mahukan pilihan raya bebas dan adil digesa hadir di bengkel DART atau sebarkan maklumat penting ini,” kata Jannie.
Jannie menerangkan bahawa sukarelawan DART telah bertungkus-lumus mendapatkan peta-peta berkenaan yang diimbas dan ditindihkan dengan peta Google Earth supaya sesiapapun boleh menggunakan bahan-bahan ini dengan mudah untuk menentukan sempadan yang betul bagi kawasan pilihan raya masing-masing.
“Setiap bengkel bermula dengan penjelasan mengenai penyelewengan yang lazim dan telahpun dibuat oleh SPR dari segi persempadanan. Kemudian, peserta bengkel berpeluang mengkaji kawasan pilihan raya mereka untuk melihat adakah apa-apa pembetulan harus dibuat. Selepas itu, mereka boleh terus membuat pembetulan ke atas peta kawasan pilihan raya mereka dalam komputer riba yang kami sediakan.
“Bahagian bengkel inilah yang paling menarik kerana ia seolah-olah satu mainan komputer untuk menggubal kawasan pilihan raya yang baru, bermula daripada daerah mengundi, dan berkembang mengikut pertalian tempatan,” kata Jannie.
Di Penampang, bengkel separuh hari DART akan diadakan di Dewan Tun Fuad Stephen pada pukul 1 petang; di Tawau, Hotel Heritage pada pukul 9 pagi; dan di Sandakan, Borneo Cove Hotel pada pukul 10 pagi.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen DART dan roadshow ke negeri-negeri lain, layari laman sesawan BERSIH 2.0 www.bersih.org