BERSIH 2.0 gesa pertuduhan Naib Pengerusi dan tiga lagi digugurkan, Akta Perhimpunan Aman dikaji semula

Orang ramai yang hadir di Mahkamah Sesyen Johor Bahru untuk menunjukkan sokongan kepada empat orang yang dituduh di bawah Akta Perhimpunan Aman - Naib Pengerusi Semenanjung Selatan BERSIH 2.0 Thomas Fann, Koh Jit Huat, Mohd Salleh Ahmad dan Steven Choong.
Orang ramai yang hadir di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 20 April 2014 untuk menunjukkan sokongan kepada empat orang yang dituduh di bawah Akta Perhimpunan Aman – Naib Pengerusi Semenanjung Selatan BERSIH 2.0 Thomas Fann, Koh Jit Huat, Mohd Salleh Ahmad dan Steven Choong.

Berikutan pengisytiharan Mahkamah Rayuan dalam kes ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) melanggar Perlembagaan Malaysia, Jabatan Peguam Negara harus menggugurkan pertuduhan APA Naib Pengerusi Semenanjung Selatan BERSIH 2.0 Thomas Fann bersama tiga orang lain.
 
Walaupun Fann, bersama Koh Jit Huat, Mohd Salleh Ahmad dan Steven Choong, dituduh di bawah seksyen lain, yakni Seksyen 9(1) yang mensyaratkan penganjur himpunan memberi notis 10 hari kepada polis, namun memandangkan ketetapan Mahkamah Rayuan bahawa penghukuman terhadap mereka yang gagal memberi notis 10 hari adalah tidak berperlembagaan, maka masih relevan lagikah syarat – dan seksyen – tersebut?
 
BERSIH 2.0 menyeru pihak berkuasa supaya akur kepada kenyataan Mahkamah Rayuan bahawa perbuatan yang sah – yakni, berhimpun secara aman – tidak boleh dihukum sebagai satu jenayah.
 
Selaras dengan pendirian Mahkamah Rayuan ini, BERSIH 2.0 juga menggesa pihak berkuasa supaya menggugurkan pertuduhan keempat-empat mereka di bawah Seksyen 4.2(b) yang melarang perhimpunan di kawasan tertentu.
 
Sebagaimana juga dengan syarat notis 10 hari, senarai kawasan larangan tidak munasabah. Antara lain, tempat-tempatnya ialah lingkungan 50m stesen minyak, terminal bas, sekolah dan tempat sembahyang. Ini bermakna pada hakikatnya, hampir tiada tempat untuk berhimpun di bandar.
 
Justeru, Parlimen juga harus mengkaji semula APA, bukan sahaja dari segi kandungan, malah namanya juga – ia sepatutnya “Akta Perhimpunan Awam” kerana andaian asas hak berhimpun adalah bahawa ia kegiatan aman dan oleh itu tidak perlu dinyatakan dengan eksplisit.
 
BERSIH 2.0 menegaskan bahawa kebebasan bersuara, termasuk kebebasan berhimpun, adalah sebahagian daripada sistem semakan dan imbangan dalam sistem demokrasi. Undang-undang yang mencengkam masyarakat tidak ada tempatnya dalam negara demokratik. Sekiranya pihak berkuasa khuatir mengenai ancaman keselamatan, sudah ada dan cukup undang-undang yang mengawal keadaan perhimpunan – contohnya Akta Polis.
 
Pengurusan kes Fann dan rakan-rakannya dijadualkan pada 5 Mei 2014, pukul 9 pagi, di Mahkamah Sesyen Jenayah 2 di Johor Bahru. Sekali lagi, BERSIH 2.0 menyeru orang ramai hadir untuk menunjukkan sokongan kepada mereka yang dituduh menganjurkan “candlelight vigil” untuk aktivis pelajar Adam Adli ketika beliau ditahan di bawah Akta Hasutan pada bulan Mei 2013. Nyatakan bantahan anda terhadap APA!
 
Salam BERSIH!
 
Dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, yang terdiri daripada:
Maria Chin Abdullah (Pengerusi), Dr Ahmad Farouk Musa (Timbalan Pengerusi), Masjaliza Hamzah (Bendahari), Farhana Abdul Halim, New Sin Yew, Jannie Lasimbang (Naib Pengerusi Sabah), Ahmad b. Awang Ali (Naib Pengerusi Sarawak), Abd Halim b. Wan Ismail (Naib Pengerusi Semenanjung Timur), Thomas Fann (Naib Pengerusi Semenanjung Selatan), Simon Lee Ying Wai (Naib Pengerusi Semenanjung Tengah) dan Dato’ Dr Toh Kin Woon (Naib Pengerusi Semenanjung Utara).