Jemputan Media: Perbicaraan Mejar Zaidi Ahmad di Mahkamah Tentera mengenai isu dakwat kekal PRU13

(10 Ogos 2014)

UNTUK SIARAN SEGERA

 

SIAPA: Pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad

BILA: 11-13 Ogos 2014 (Isnin-Rabu); 9am.

DI MANA: Mahkamah Tentera, Pangkalan TUDM Sungai Besi, Kuala Lumpur.

APA: Pada 7 Februari 2014, Mejar Zaidi dari Pangkalan Udara Butterworth mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan melanggar perintah Majlis Angkatan Tentera (dengan membuat laporan polis mengenai ketidak-kekalan dakwat kekal yang digunakan dalam pengundian awal sewaktu Pilihan Raya Umum ke-13) dan dua pertuduhan menghantar SMS berbaur politik.   

Beliau didakwa mengikut Sekysen 50(2) dan Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972 yang membawa hukuman maksima penjara dua tahun atau mana-mana lebih ringan, termasuk dibuang kerja atau diturunkan pangkat.

Pada 8 April, Mahkamah Tentera memerintahkan lima pertuduhan yang cacat (kerana tidak membawa maksud bahawa Majlis Angkatan Tentera ialah pegawai atasan kepada Mejar Zaidi mengikut Seksyen 2 Akta Angkatan Tentera 1972) dirujuk kepada Pihak Berkuasa Sidang (PBS) TUDM.

Bagaimanapun, dua pertuduhan lain, iaitu menghantar SMS berbaur politik ketika PRU13, akan kekal didengar.

Justeru, lima pertuduhan dipinda dan dibaca pada 10 Jun dan Mejar Zaidi kini didakwa di bawah Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera.

Mejar Zaidi juga telah memohon untuk semakan kehakiman daripada Mahkamah Tinggi bagi membatalkan pertuduhan yang dipinda.

Sebanyak sekurang-kurangnya 41 badan bukan kerajaan termasuk BERSIH 2.0 sudah menyatakan sokongan kepada Mejar Zaidi dan menggesa supaya kes ini digugurkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri telah mengaku dalam laporan media mengenai kegagalan dakwat kekal yang digunakan sewaktu PRU13, yang turut dilaporkan oleh ratusan pengundi. Persoalannya, kenapa tindakan diambil terhadap Mejar Zaidi bilamana beliau bercakap yang benar demi kepentingan awam?

 

#SOKONGZAIDI

Disunting pada 13 Ogos 2014