Ucapan Dasar Pn Maria Chin Abdullah, Pengerusi BERSIH 2.0 pada Majlis Makan Malam Pengumpulan Dana di Dewan MBPJ Petaling Jaya pada 8 Ogos 2014.
Demokrasi: Satu Impian Penyatu Malaysia
Salam Sejahtera, Salam Merdeka dan Salam Bersih!
Unggun Bersih oleh Pak Samad
Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.
Sudah hampir lapan tahun unggun bersih ini menyala dan merebak. Dengan hati yang rendah tetapi bangga, saya sebagai Pengerusi Gabungan untuk Pilihanraya Bersih dan Adil 2.0 menyambut kedatangan Tuan-tuan dan puan-puan untuk bersama kita dalam meraikan perjuangan yang bersejarah ini.
Seperti yang disyairkan oleh Pak Samad, demokraslahi yang memberikan makna kepada kemerdekaan kita. Kemerdekaan ini kosong ertinya kalau rakyat tetap dijajah Cuma penjajah yang ditukar. Kemerdekaan bukanlah untuk sekadar menaikkan bendera Malaysia, menyanyikan lagu Negaraku, atau mendapatkan paspot atau kad pengenalan dengan nama Malaysia. Kemerdekaan adalah untuk mendapatkan pembebasan daripada sebarang penjajahan, sama ada dari dalam atau luar negeri, dengan pertama sekali memastikan rakyat jelata yang menentukan siapanya pemerintah.
Malangnya, sejak kemerdekaan Malaya pada 1957 dan kemerdekaan Sabah dan Sarawak pada 1963, rakyat Malaysia juga dicuci otaknya supaya takutkan demokrasi. Kononnya kerana kita ini negara pelbagai kaum, pelbagai agama, pelbagai bahasa dan pelbagai budaya, dan rakyat akan senang naik amok dan merusuh jika terasa kebebasan dan hak untuk menentukan masa depan sendiri.
Kerana kita kononnya begitu senang mengganas sesama sendiri, maka kita perlukan kerajaan yang maha mengetahui dan maha berkuasa untuk mengawal dan menjinakkan kita. Kerana itu, kita perlukan kerajaan yang sentiasa memenangi majority dua-pertiga di Parlimen. Dan kemenangan majority dua-pertiga ini perlukan penipuan, maka dilakukanlah penipuan. Kalau ia perlukan ugutan, maka dilakukanlah ugutan. Kalau tidak cukup rakyat Malaysia yang menyokong kerajaan, maka kerakyatan dan undi diberikanlah kepada orang asing. Kalau tidak cukup pengundi yang hidup, maka pengundi yang telah mati dikerahlah untuk bangun dari kubur dan mara ke peti undi.
Kejayaan Bersih 1.0