Baralah dan Rebaklah, Unggun Demokrasi!

Kesemua ini berubah pada tahun 2006 dengan penubuhan Bersih. Bersih 1.0 adalah gabungan tiga buah parti: PKR, PAS dan DAP dan juga kumpulan-kumpulan masyarakat seperti Refsa, Suaram, WDC, CIJ, WAMI dan banyak lagi yang tidak dapat disenaraikan. Dengan angkatan yang gagah ini dan usahanya yang gigih, rakyat yang belum sedar tentang kekotoran itu menjadi sedar, yang sedar itu mula lantang mengutuk kekotoran itu. Kita tidak takutkan lagi kekotoran kerana kita bersatupadu demi kebersihan.

 

Bersih telah menyatukan rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi, keadilan, kebebasan, kejujuran dan kebersihan, menjangkau sempadan kaum, agama, bahasa, budaya, wilayah, kedudukan sosio-ekonomi, jantina dan umur.

 

Kerana perpaduan demi menegakkan pilihanraya yang bersih dan adil, 50,000 rakyat Malaysia berarak di pusat ibukota pada 10hb November, 2007. memohon keprihatinan DYMM Yang diPertuan Agong supaya tidak perkenankan pembubaran Parlimen sebelum berlakunya reformasi pilihanraya yang asas yakni

  1. Pembersihan senarai pengundi
  2. Reformasi undi pos
  3. Penggunaan dakwat kekal
  4. Akses kepada media yang bebas dan adil
  5. Tempoh kempen minimum sebanyak 21 hari

 

Angkatan 50,000 orang ini tidak membawa rusuhan, pembinasaan ataupun sampah-sarap. Sebaliknya, perhimpunan Bersih 1.0 ini telah benar-benar membersihkan kota Kuala Lumpur kerana penyokong-penyokong Bersih bukan saja membawa balik sampah sendiri, tetapi juga mengutip sampah yang sedia ada. Inilah semangat Bersih.

 

Sungguhpun lima tuntutan Bersih 1.0 tidak dilaksanakan, tetapi rakyat telahpun mengatasi ketakutan tentang rusuhan dengan berjayanya tiga perhimpunan raksasa pada tahun 2007, yakni Walk for Justice oleh Majlis Peguam Malaysia, Bersih 1.0 dan Hindraf. Untuk kali pertama sejak 1969, gabungan pemerintah telah gagal memenangi majoriti dua-pertiga. Dan lima buah negeri diperintah oleh parti-parti pembangkang. Tsunami politik telah melanda pantai Malaysia dan menghakis asas pemerintahan authoritarian BN.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan, saya ingin menjemput kita bersama-sama memberikan tepukan gemuruh kepada para perintis Bersih 1.0 dari semua lapisan masyarakat. Tanpa usaha mereka, kita tidak akan berada di sini. Jutaan terima kasih, pahlawan Bersih 1.0 kita.

 

Hidup! Hidup! Hidup Bersih!

 

Kejayaan Bersih 2.0 Fasa 1

 

Bersih 2.0 dilancarkan secara rasmi pada 10hb November 2010, iaitu ulangtahun ke-3 Perhimpuan Raksasa Bersih 1.0. Ia ditubuhkan untuk meneruskan perjuangan Bersih 1.0 tetapi dengan angkatan lain. Kesemua ahli-ahli Jawatankuasa pemandunya adalah wakil dari masyarakat sivil, diketuai oleh Dato’ Ambiga Sreenevasan yang kemudiannya disertai oleh Pak Samad.

 

Bersih 2.0 tidak lagi mengandungi wakil daripada parti-parti politik kerana ramai rakan-rakan kita dalam Bersih 1.0 telahpun menjadi wakil rakyat malah ada yang menyertai kerajaan negeri. Mereka meneruskan perjuangan dengan melaksanakan dan memantau perlaksanaan tuntutan Bersih 1.0 dalam kapasiti ahli politik manakala Bersih 2.0 pula terus menggerakkan agenda pembaharuan pilihanraya dan memantau semua parti politik. Bersih 2.0 bangga dengan pendiriannya yang bersifat politik tetapi tidak memihak mana-mana parti.

 

Kerana tidak satupun daripada 5 tuntutuan Bersih 1.0 dilaksanakan, dan pilihanraya negeri Sarawak pada April 2011 menyaksikan kekotoran yang tidak ada bandingannya, termasuk tawaran Perdana Menteri Najib Razak yang keji sekali “You help me, I help you”, Bersih 2.0 menganjurkan perhimpunan raksasa Bersih 2.0 pada 9hb Julai 2011.

 

Ini dijawab dengan penindasan secara kuku besi oleh Kerajan BN di bawah Najib. Seramai 200 orang ditahan dalam masa sebulan sebelum 709, kerana mempromosikan nilai kebersihan. Ini termasuk enam orang rakan kita dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan dibawah Ordinan Darurat (Emergency Ordinance, EO) lebih sebulan. Tahanan lain termasuk juga ahli Parlimen Bakri saudara Er Teck Hua dan rakannya yang menganjurkan gotong-royong. Kerajaan yang kotor itu takutkan nilai “bersih” itu sampai tahap yang paranoia.

(“Clean” becomes the dirty word for the regime!)

 

Penindasan ini gagal mematahkan semangat rakyat Malaysia untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan kerajaan yang halal. Sekali lagi, 50,000 orang berarak di pusat Kuala Lumpur. Lebih daripada 1,600 rakyat ditahan. Lebih ramai lagi yang dicederakan oleh polis yang mengganas. Allahyarham Baharuddin Ahmad telah gugur di jalanraya dan meninggal dunia dalam keadaan kelam kabut apabila polis memburu peserta-peserta Bersih 2.0.

Sekalipun dengan keganasan yang dasyhat, rakyat tidak tunduk. Mereka mendapat kekuatan dalam solidariti atau semangat setiakawan yang menembusi dinding kaum, agama, bahasa, budaya, kedudukan sosio-ekonomi dan sebagainya.