Baralah dan Rebaklah, Unggun Demokrasi!

Apabila SPR memulakan persempadanan semula kawasan pilihanraya, pengundi yang terjejas kepentingannya mempunyai masa 30 hari untuk mengemukakan bantahan mereka. Untuk membantu orang ramai bersiap sedia untuk memahami, meneliti dan membantah, jika perlu, cadangan sempadan baru oleh SPR, Bersih 2.0 dan Engage yang diketuai oleh saudara Thomas Fann, naib pengerusi Zon Selatan Semenanjung telah melancarkan Pasukan Tindakan dan Penyelidikan Persempadanan atau Delineation Action and Research Team (DART). Bersih 2.0 juga bekerjasama dengan Majlis Peguam dan Tindak Malaysia atas aspek yang berkenaan.

 

DART beroperasi dengan dua ciri yang utama.

 

Pertama, penilaian dan bantahannya terhadap malapportionment dan gerrymandering adalah berdasarkan peruntukan Seksyen 2, Bahagian 1, Jadual ke-13 dalam Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan “lebih kurang sama banyak” (approximately equal) pengundi untuk kawasan pilihanraya dalam negeri yang sama dan juga “pemiliharaan hubungan tempatan” (maintenance of local ties). Jika SPR melanggar peruntukan dalam perlembagaan, Bersih 2.0 bersedia membantu pengundi membawa SPR ke mahkamah untuk semakan kehakiman.

 

Kedua, DART percaya tentang penglibatan orang ramai dari bawah ke atas (bottom up) dalam proses persempadanan semula. Orang awam dilatih untuk melakukan percubaan sendiri dengan alat yang ringkas, mudah diguna dan percuma, iaitu Google Earth dan Excel.

 

Projek Utama 2 – Reformasi Parlimen

 

Bersih 2.0 sedang bekerjasama dengan badan-badan lain seperti Majlis Peguam, GMM, Merdeka Centre, IDEAS, KPRU, Engage, Tindak Malaysia, Merap dan SIS dalam mengkaji institusi dan prosedur parlimen dan DUN-DUN Malaysia. Aspek yang dikaji termasuk kuasa Speaker, sistem jawatankuasa, urusan bukan kerajaan, saiz dan perwakilan antara negeri dan sebagainya. Berkenaan dengan saiz Parlimen dan DUN, Bersih 2.0 berpendirian bahawa saiznya harus ditetapkan berdasarkan keperluan dan keberkesanan fungsi mereka, dan bukan ditambah secara terikat kepada persempadanan semula kawasan pilihanraya.

 

Penghargaan Kepada Teman Seperjuangan Di Seluruh Negara

 

Tuan-tuan dan puan-puan, saya telahpun menggariskan arah utama dan projek-projek Bersih 2.0 untuk tahun ini dan tahun depan.

 

Kami amat berterima kasih atas sokongan padu Tuan-tuan dan Puan-puan. Kami amat terharu dengan dermaan sebanyak setengah juta yang dikutip dalam masa sebulan. Jutaan terima kasih.

Kami akan menjalankan tanggungjawab kami secara bersungguh-sungguh dan berharap Tuan-tuan dan puan-puan akan terus memberi sokongan, bantuan dan teguran untuk menjayakan perjuangan kita.

 

Biarlah setiap antara kita akan membarakan unggun sakti demokrasi ini dan merebakkan nyalanya ke seluruh dunia. Dalam era yang penuh cabaran dan dugaan ini, biarlah setiap kita menjadi unggun yang menangkis kegelapan di sekitar kita.

 

Hidup! Hidup! Hidup Bersih!

Hidup! Hidup! Hidup Rakyat!