Akta Hasutan: Undang-undang Autokratik Jadi Senjata

Kenyataan Media, 5 September 2014

Bersih 2.0 terpanggil untuk sekali lagi mengecam sekeras-kerasnya tindakan kerajaan yang menggunakan Akta Hasutan 1948 ke atas beberapa pihak termasuk ahli akademik, wartawan dan juga pengguna media sosial dalam perkembangan terbaharu hari ini.

Sejurus selepas rakyat Malaysia meraikan Hari Kemerdekaan ke 57, negara dikejutkan dengan pendakwaan ke atas Prof Madya Dr Azmi Sharom, pensyarah undang-undang di Universiti Malaya dibawah Akta Hasutan 1948 untuk artikel beliau  bertajuk “Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told” yang dilaporkan diportal berita online ” The Malay Mail” pada 14 Ogos 2014.  Dan  terkini, Susan Loone, wartawan kanan Malaysia disiasat di bawah Akta Hasutan di Pulau Pinang selepas melaporkan temubual beliau bersama EXCO Negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh tentang layanan pihak polis ketika EXCO berkenaan ditahan. Penahanan Susan Loone ini membuktikan pentadbiran Najib Tun Razak sedang menghantar mesej kepada masyarakat umum bahawa melaporkan kebenaran adalah suatu ‘jenayah’. Dalam perkembangan yang sama, Ali Abdul Jalil, seorang pengguna dan aktivis media sosial dari kalangan anak muda juga turut disiasat dan bakal didakwa di bawah akta yang sama dalam masa terdekat ini hasil kritikan beliau ke atas insititusi kerajaan.

Perkembangan mutakhir ini harus dikutuk dan dikecam oleh semua pihak dari kalangan masyarakat Malaysia. Penggunaan Akta Hasutan untuk menutup mulut rakyat yang berbeza pendapat adalah tindakan yang autokratik dan bercanggah sama sekali dengan semangat demokrasi dan kebebasan bersuara yang seharusnya menjadi dasar Negara. Kerajaan yang demokratik tidak boleh menggunakan undang-undang autokratik dan drakonian untuk berhadapan dengan kritikan.

Tidak boleh tidak, kita perlu mengakui bahawa tindakan yang dilakukan kerajaan ini adalah taktik jahat untuk mengalih perhatian masyarakat dari isu yang lebih penting seperti masalah-masalah harian rakyat, kemerosotan kualiti hidup, dan beban-beban ekonomi baru seperti cukai GST kelak. Tindakan kerajaan ini juga dikhuatiri adalah taktik untuk mengalihkan perhatian masyarakat daripada agenda besar lain seperti persempadanan semula yang bakal mengukuhkan lagi penguasaan kerajaan dalam pilihan raya yang akan datang.

15 September 2012, sehari sebelum Hari Malaysia-Najib Tun Razak mengumumkan pemansuhan Akta Hasutan sebagai sebuah langkah membuka ruang demokrasi di bawah agenda tranformasi beliau. Ternyata, apa yang sedang berlaku hari ini-iaitu penangkapan besar-besaran di bawah Akta Hasutan adalah bukti penipuan dan pengkhianatan kerajaan ke atas janji mereka sendiri.

Kegilaan kerajaan ini adalah refeleksi kepada kegagalan, keruntuhan moral, dan ketidakadilan sebuah kerajaan yang tidak demokratik dan zalim. BERSIH 2.0 menuntut kerajaan untuk segera menghentikan intimidasi sebegini ke atas rakyatnya sendiri dan gugurkan semua pertuduhan ke atas individu-individu yang telah dan sedang didakwa di bawah Akta Hasutan 1948. Undang-undang ini harus dimansuhkan serta-merta tanpa sebarang syarat.

 

Dikeluarkan oleh,

Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 yang berikut*:

Maria Chin Abdullah (Pengerusi), Masjaliza Hamzah (Bendahari), Farhana Abdul Halim, Jannie Lasimbang (Naib Pengerusi Sabah), Ahmad b. Awang Ali (Naib Pengerusi Sarawak), Abd Halim b. Wan Ismail (Naib Pengerusi Semenanjung Timur), Thomas Fann (Naib Pengerusi Semenanjung Selatan), Simon Lee Ying Wai (Naib Pengerusi Semenanjung Tengah) dan Dato’ Dr Toh Kin Woon (Naib Pengerusi Semenanjung Utara).

*Dikemaskini pada 15 September 2014