Sambungan perbicaraan kes Mejar Zaidi 24 Nov

SIARAN MEDIA

Kepada para pengarang dan wartawan,


Untuk makluman semua, perbicaraan Mejar Zaidi Ahmad akan bersambung semula pada:

Tarikh : 24 November 2014 (Isnin).
Masa : 9.00 Pagi
Tempat : Kompleks Mahkamah Tentera (TUDM) Pangkalan Udara KL, Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur.


Perkembangan terakhir agak mengejut dan mahkamah dijangka akan memberi keputusan Pihak Berkuasa Sidang tentang permohonan peguam Mejar Zaidi supaya mahkamah dibubarkan setelah dijumpai komen berkenaan kes ini dalam laman berita Malaysiakini. Komen tersebut dikatakan dibuat oleh seorang anggota panel penghakiman dan berbunyi, “klu tak nak jd tentera duk kampung motong getah je”. 

BERSIH 2.0 sudah membuat kenyataan media menggesa siasatan menyeluruh dijalankan tentang kemungkinan prejudis dalam panel penghakiman (lihat https://www.bersih.org/bersih-2-0-gesa-siasat-dakwaan-hakim-memberi-komen-dalam-laman-berita/).

Kami masih mempertahankan Mejar Zaidi dan menekankan bahawa beliau sama sekali tidak bersalah, malah telah menunjukkan kesetiaannya terhadap rakyat dan negara dengan melaporkan perkara ini kepada pihak polis supaya siasatan dibuat terhadap isu dakwat kekal. Aduan itu tidak mendedahkan apa-apa perkara yang menjejaskan keselamatan negara. Perlu ditekankan lagi, bukan imej institusi tentera yang tercemar tetapi imej Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Namun badan tersebut masih tidak dipertanggungjawabkan atas kegagalan dakwat kekal pada PRU13. Sebaliknya Mejar Zaidi yang berprinsip atas kebenaran pula yang dihakimi. 

Peringatan Penting:
1. Apabila anda tiba di pintu masuk utama, anda harus mendaftarkan diri untuk mendapatkan pas masuk. Sila beritahu anda dari organisasi mana.
2. Setelah mendapat pas masuk, anda kemudian harus memandu/menunggang kenderaan ke dalam kompleks mahkamah. Jika menaiki teksi, sila turun di dalam kompleks, Perjalanan dari pagar ke Kompleks Mahkamah adalah sejauh kira-kira 1KM.
3. Anda tidak dibenarkan membawa telefon bimbit, laptop atau apa-apa alat rakaman ke dalam Kamar Mahkamah. Pihak keselamatan mahkamah akan meminta anda meninggalkannya di dalam peti simpanan di luar mahkamah.
4. Alat tulis dibenarkan untuk dibawa masuk ke dalam kamar Mahkamah.


Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila hubungi Mandeep di talian 03-77723275/019-4380428

Kehadiran pihak anda adalah amat dihargai. 

Sekian, terima kasih.

SEKRETARIT BERSIH 2.0