Hujahan penggulungan kes Mejar Zaidi dijangka pada 19 Disember

Kepada para pengarang dan wartawan,

Untuk makluman semua, kes Mejar Zaidi Ahmad akan bersambung semula pada:

Tarikh : 19 Disember 2014 (Jumaat).
Masa : 9.00 pagi
Tempat : Kompleks Mahkamah TUDM KL, Pangkalan Udara Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Mahkamah Tentera dijangka akan mendengar hujahan penggulungan daripada pihak pendakwaraya dan pihak pembela berikutan keputusan Mejar Zaidi untuk berdiam diri pada pendengaran Isnin yang lalu apabila Mahkamah Tentera memutuskan tidak akan menunggu semakan kehakiman terhadap kesahan perbicaraan ini (Major Zaidi opts to ‘remain silent’, final submission set for Friday). 
 
Perbicaraan ini bersambung walaupun Badan Peguam Negara telah mengeluarkan kenyataan media menggesa perbicaraan Mejar ditangguh sehingga semakan kehakiman oleh Mahkamah Tinggi (Halt Court Martial of Major Zaidi Ahmad Pending Judicial Review by High Court).
 

Ini berikutan kemungkinan wujudnya prejudis dalam panel penghakiman (lihat kenyataan BERSIH 2.0 BERSIH 2.0 gesa siasat dakwaan hakim memberi komen dalam laman berita).

 
Kami masih mempertahankan Mejar Zaidi dan menekankan bahawa beliau sama sekali tidak bersalah, malah telah menunjukkan kesetiaannya terhadap rakyat dan negara dengan melaporkan perkara ini kepada pihak polis supaya siasatan dibuat terhadap isu dakwat kekal. Aduan itu tidak mendedahkan apa-apa perkara yang menjejaskan keselamatan negara. Perlu ditekankan lagi, bukan imej institusi tentera yang tercemar tetapi imej Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Namun badan tersebut masih tidak dipertanggungjawabkan atas kegagalan dakwat kekal pada PRU13. Sebaliknya Mejar Zaidi yang berprinsip atas kebenaran pula yang dihakimi. 

Peringatan Penting:
1. Apabila anda tiba di pintu masuk utama, anda harus mendaftarkan diri untuk mendapatkan pas masuk. Sila beritahu anda dari organisasi mana.
2. Setelah mendapat pas masuk, anda kemudian harus memandu/menunggang kenderaan ke dalam kompleks mahkamah. Jika menaiki teksi, sila turun di dalam kompleks, Perjalanan dari pagar ke Kompleks Mahkamah adalah sejauh kira-kira 1KM.
3. Anda tidak dibenarkan membawa telefon bimbit, laptop atau apa-apa alat rakaman ke dalam Kamar Mahkamah. Pihak keselamatan mahkamah akan meminta anda meninggalkannya di dalam peti simpanan di luar mahkamah.
4. Alat tulis dibenarkan untuk dibawa masuk ke dalam kamar Mahkamah.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila hubungi Mandeep di talian 03-77723275/019-4380428

Kehadiran pihak anda adalah amat dihargai. 

Sekian, terima kasih.

 
Dikeluarkan oleh Sekretariat BERSIH 2.0