Kronologi kes Mejar Zaidi Ahmad

 

MejarZaidi_kronologi(Dikemaskini pada 11 Jan 2015)

30 April 2013

Mejar Zaidi membuang undi bersama-sama pengundi awal lain. Sesampai di rumah Mejar terbaca dalam Internet rungutan anggota tentera bahawa dakwat di jari mereka hilang. Mejar pun cuba mencuci tangannya dengan sabun pencuci tangan dan pencuci pinggan mangkuk. Beberapa jam kemudian, dakwat itu memang tanggal.

Pada malam itu, Mejar menonton berita TV bahawa SPR mengumumkan pengundian awal berjalan dengan lancar dan dakwat kekal boleh tahan 7 hari!

Lalu Mejar bertekad buat laporan polis pada keesokan harinya. Tujuannya untuk mencegah penipuan di PRU13.

 

1 April 2013

Mejar membuat laporan polis yang dilaporkan oleh media.

 

3 Mei 2013

Mejar disuruh melapor diri di pangkalan udara Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur; media juga melaporkan perkara ini.

 

Jun 2013

Mejar dipindah balik ke Butterworth tetapi diberi tugas meja dan tidak dibenarkan terbang lagi.

 

7 Februari 2014

Mejar dilontarkan 7 pertuduhan oleh Majlis Angkatan Tentera.

 

8 April 2014

Perbicaraan bermula di Mahkamah TUDM Pangkalan Tentera KL. Mahkamah bersetuju dengan hujah peguambela bahawa 5 daripada 7 pertuduhan itu tidak sah dan menangguh perbicaraan untuk merujuk kepada pihak berkuasa sidang.

 

10 Jun 2014

Perbicaraan bersambung dengan pindaan kepada 5 pertuduhan asal. Dua lagi kekal.

 

20 Oktober 2014

Empunya akaun Facebook bernama “Saadon T’son” membuat komen pada laporan Malaysiakini bertajuk, “Peguam: Kesalahan Mejar Zaidi hanya kerana berani”. Komen berbunyi: “Klu tak nak jd tentera duk kampung motong getah jer.”

 

27 Oktober 2014

Mahkamah memutuskan ada kes prima facie dalam 2 daripada 5 pertuduhan yang dipinda. Dua lagi digugurkan. Mejar Zaidi diarah buat pembelaan.

 

1 November 2014

Komen Facebook itu dikesan oleh Mejar Zaidi. Aduan dibuat pada pihak berkuasa tentera.

 

5 November 2014

Di mahkamah, peguambela berkata Mejar sudah membuat aduan tentang komen Facebook dalam Malaysiakini yang dikatakan berasal daripada seorang panel penghakiman. Pihak pembela memohon ia dimasukkan sebagai keterangan dan siasatan dibuat tentangnya. Peguambela juga meminta mahkamah dibubarkan. Mahkamah ditangguh untuk keputusan pihak berkuasa sidang.

 

24 November 2014

Mahkamah berkata pihak berkuasa sidang berpuas hati dengan penjelasan panel yang menolak pembubaran mahkamah dan mahukan perbicaraan diteruskan tanpa gangguan. Peguambela terkejut mendengar keputusan dibuat, tanpa bertulis dan tanpa mendengar penjelasan pihak pembela. Peguambela juga menuntut Yang Dipertua panel dihadapkan sebagai saksi. Namun mahkamah membalas ini tidak dibenarkan di bawah Seksyen 121 Akta Keterangan, kerana ia menyoal perlakuan hakim dalam mahkamah. Mahkamah juga berkata bahawa menurut Akta Angkatan Tentera, Yang Dipertua panel kehakiman tidak boleh dipaksa memberi keterangan. Mahkamah membenarkan pembela memohon semakan kehakiman untuk mendapatkan penjelasan pihak berkuasa sidang.

 

15 Disember 2014

Mahkamah Tentera menolak permohonan penangguhan kes sehingga permohonan semakan kehakiman didengar pada 5 Februari 2015 di Mahkamah Tinggi. Peguam pembela Nasar Khan Mirbas Khan berkata mereka akan membisu kerana mereka tidak boleh memilih untuk tidak menyertai prosiding. Mahkamah menetapkan tarikh selanjutnya untuk hujahan.

 

19 Disember 2014

Mahkamah menolak permohonan silap bicara; berkata ia tidak berkuasa membuat keputusan sedemikian. Mahkamah berkata akan memberi keputusan pada 7 Januari 2015.

 

1 Januari 2015

BERSIH 2.0 membuat laporan polis tentang komen Facebook tersebut menggesa siasatan dibuat.

 

12 Januari 2015

Keputusan mahkamah tentera akan diberi.

 

Jika disabit bersalah, Mejar menghadapi kemungkinan:

a) hukuman penjara sampai 2 tahun atau

b) kehilangan jawatannya (dan pencen) atau

c) diturunkan pangkat.