Talian bantuan guaman Bersih dibuka semula

KENYATAAN MEDIA – 10 SEPTEMBER 2015
Talian bantuan guaman Bersih dibuka semula
Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengambil maklum bahawa terdapat tangkapan dan siasatan yang masih berjalan terhadap penyokong-penyokong perhimpunan Bersih 4.
Ini termasuklah mereka yang diberkas kerana memakai kemeja-t Bersih 4, serta mereka yang sedang disiasat berikutan insiden pijak gambar, Chan Kai Meng dan Ong Zhi Qi.
BERSIH 2.0 akan menghidupkan semula talian bantuan guamannya, bagi memberikan bantuan dan khidmat nasihat peguam bagi mereka yang sedang berhadapan tindakan undang-undang.
Peguam-peguam kami boleh dihubungi di talian: 018 313 5988.
BERSIH 2.0 mengulangi penegasan bahawa perhimpunan aman Bersih 4 pada 29-30 Ogos lalu adalah tidak menyalahi undang-undang dan merupakan hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Ini dikukuhkan lagi dengan sikap pihak polis yang membiarkan perhimpunan tersebut berlangsung selama 34 jam tanpa arahan untuk bersurai.
Kami menyifatkan tindakan undang-undang dan siasatan terhadap para peserta Bersih 4 di dalam dan luar negara adalah bersifat gangguan dan bertujuan menakut-nakutkan, tidak lebih daripada itu. Pihak polis seharusnya menghormati peruntukan Perlembagaan dan menghentikan tindakan menakutkan orang ramai.
Pihak polis juga tidak perlu membuang masa untuk mencari siapa lagi mangsa seterusnya untuk dipanggil dan disiasat. Ratusan ribu rakyat Malaysia telah turun ke jalanraya Kuala Lumpur dengan memakai kemeja-t Bersih 4 kerana mereka percaya dengan hak untuk berhimpun dan menyatakan bantahan terhadap sebarang dakwaan salah laku Perdana Menteri dan kerajaan.
Rakyat Malaysia telah berhimpun demi mencari kebenaran, terutamanya berkenaan skandal 1MDB dan aliran tunai USD700 juta (RM2.6 bilion) yang masuk ke akaun Perdana Menteri sepertimana yang telah disahkan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Tindakan terhadap orang ramai hanya akan menimbulkan syak bahawa ia sekadar usaha untuk menyembunyikan kebenaran dan menafikan hak membantah.
BERSIH 2.0 menegaskan bahawa kami terus komited untuk mendesak penambahbaikan institusi, seperti yang tersenarai dalam lima tuntutan Bersih 4. Sebarang tindakan yang berniat untuk membantutkan perjuangan BERSIH 2.0 tidak akan memberi kesan kepada semangat dan keazaman rakyat Malaysia demi sebuah negara dengan sistem demokrasi yang sihat.
Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, yang terdiri daripada –
Pengerusi: Maria Chin Abdullah; Timbalan Pengerusi: Sarajun Hoda Abdul Hassan; Bendahari: Masjaliza Hamzah; wakil kebangsaan: Prof Madya Dr Abdul Halim bin Yusof, Farhana binti Abdul Halim, Fadiah Nadwa Fikri dan New Sin Yew; naib pengerusi: Jannie Lasimbang (Sabah), Ahmad b. Awang Ali (Sarawak), Abd Halim b. Wan Ismail (Semenanjung Timur), Thomas Fann (Semenanjung Selatan), Simon Lee Ying Wai (Semenanjung Tengah) dan Dato’ Dr Toh Kin Woon (Semenanjung Utara).