Perutusan Hari Malaysia 2015

KENYATAAN MEDIA
PERUTUSAN HARI MALAYSIA 2015 BERSIH 2.0
16 September 2015 dicemari sentimen perkauman sempit dan melampau. Perhimpunan ‘Baju Merah’ yang berlangsung di ibu kota berakhir dengan pertembungan antara peserta dengan pihak polis di sekitar Petaling Street; sambil pada masa yang sama cuba memperlihatkan kononnya ia berlangsung secara aman di Padang Merbok.
Taktik misdirection sebegini sering digunakan untuk mengalihkan pandangan dan tumpuan ramai terhadap apa sebenarnya yang sedang berlaku. Sambil menampilkan gambaran yang indah-indah, perkara-perkara buruk yang sedang berlaku cuba diselindungkan seolah-olah ia tidak berlaku.
Pasca Bersih 4, perhimpunan aman sudah menjadi seakan norma baru dalam proses demokrasi di Malaysia. Malangnya masih ada pihak yang belum lagi dapat menanggapi bagaimana cara sebenar untuk berhimpun secara aman tanpa perlu menggunakan kekerasan dan keganasan.
Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) secara tegas mengutuk tindakan pihak-pihak yang menyalahgunakan hak berhimpun untuk melancarkan serangan-serangan perkauman terhadap rakyat negara ini, termasuk para pengamal media yang sedang menjalankan tugas.
BERSIH 2.0 menegaskan bahawa kita semua mempunyai hak untuk menyatakan pendapat, namun syaratnya perlulah mempunyai komitmen untuk melakukannya secara aman tanpa ancaman keganasan dan perkauman.
Ini jelas telah digunakan dalam perhimpunan hari ini dalam usaha untuk menyemai rasa tidak percaya sesama warganegara sambil menyebarkan sentimen kononnya ‘Malaysia Melayu Punya’. Sepanduk tersebut merupakan satu penghinaan terhadap Hari Malaysia dan semangat perpaduan rakyat Malaysia selepas hampir 60 tahun merdeka.
BERSIH 2.0 membawa tuntutan hak membantah, justeru mereka turut berhak untuk menyatakan apa sahaja bantahan melalui perhimpunan dan aksi, dengan syarat ia berlangsung secara aman dan tanpa cetusan perkauman sempit dan ugutan keganasan.
BERSIH 2.0 menggesa supaya mereka yang telah memainkan sentimen perkauman sempit sambil membuat ugutan keganasan diambil tindakan undang-undang oleh pihak berwajib.
Hari Malaysia adalah simbol perpaduan negara yang hidup dalam keharmonian dan kemakmuran. Malang sekali, apa yang telah berlangsung hari ini adalah bertentangan dengan semangat perpaduan negara.
Anehnya, semangat perpaduan itu terlihat dalam perhimpunan aman Bersih 4 yang telah dilabel haram oleh pihak berkuasa.
Perhimpunan yang telah berlangsung pada ambang Hari Merdeka dengan penuh tertib dan tenteram selama 34 jam itu telah berjaya menghimpunkan rakyat Malaysia berbilang kaum bagi menyampaikan mesej perpaduan dan penambahbaikan institusi demi sebuah negara yang lebih baik untuk semua.
Pada hari yang penuh sejarah ini, BERSIH 2.0 menyeru semua rakyat Malaysia untuk menolak sentimen perkauman sempit, saling berbaik sangka sesama jiran tetangga, dan saling hormat menghormati. Kerana Malaysia adalah milik kita bersama.
Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, yang terdiri daripada –
Pengerusi: Maria Chin Abdullah; Timbalan Pengerusi: Sarajun Hoda Abdul Hassan; Bendahari: Masjaliza Hamzah; wakil kebangsaan: Prof Madya Dr Abdul Halim bin Yusof, Farhana binti Abdul Halim, Fadiah Nadwa Fikri dan New Sin Yew; naib pengerusi: Jannie Lasimbang (Sabah), Ahmad b. Awang Ali (Sarawak), Abd Halim b. Wan Ismail (Semenanjung Timur), Thomas Fann (Semenanjung Selatan), Simon Lee Ying Wai (Semenanjung Tengah) dan Dato’ Dr Toh Kin Woon (Semenanjung Utara).