Hentikan siasatan mengarut di bawah larangan memakai tshirt Bersih

KENYATAAN MEDIA
17 SEPTEMBER 2015
Hentikan siasatan mengarut di bawah larangan memakai tshirt Bersih
Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengecam tindakan pihak polis memanggil tiga individu, Datuk S. Ambiga, Adun Bukit Lanjan Elizabeth Wong dan Ahli Parlimen Kapar Sdr Manivannan untuk disoal siasat di bawah Seksyen 81 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan berikutan larangan memakai tshirt dengan tulisan Bersih 4.
Daripada ratusan ribu peserta perhimpunan aman Bersih 4 yang berlangsung selama 34 jam tanpa disuraikan oleh pihak polis, amat menghairankan kenapa pihak polis mensasarkan tiga individu ini untuk disiasat di bawah undang-undang larangan memakai tshirt terbabit.
Larangan memakai tshirt Bersih 4 telah dilihat sebagai larangan yang mengarut oleh ratusan ribu rakyat Malaysia yang telah berhimpun selama 34 jam di jarak sepelontar batu dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
BERSIH 2.0 menggesa supaya sebarang siasatan dan tindakan ke atas mereka hanya kerana memakai tshirt kuning bertulis Bersih 4 dihentikan serta merta.
BERSIH 2.0 juga mengecam tindakan pihak polis yang dilaporkan akan terus memanggil individu-individu lain termasuk Menteri Besar Selangor, Azmin Ali untuk disiasat kerana memakai tshirt Bersih 4.
Adakah pihak polis akan memanggil kesemua ratusan ribu peserta perhimpunan aman Bersih 4 yang telah bertindak nekad membelakangi larangan memakai tshirt tersebut untuk disiasat dan dikenakan tindakan undang-undang?
Sekiranya ada dari kalangan orang ramai yang dipanggil pihak polis, sila hubungi BERSIH 2.0 di talian 03 7772 3275 atau 019 438 0428.
Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, yang terdiri daripada –
Pengerusi: Maria Chin Abdullah; Timbalan Pengerusi: Sarajun Hoda Abdul Hassan; Bendahari: Masjaliza Hamzah; wakil kebangsaan: Prof Madya Dr Abdul Halim bin Yusof, Farhana binti Abdul Halim, Fadiah Nadwa Fikri dan New Sin Yew; naib pengerusi: Jannie Lasimbang (Sabah), Ahmad b. Awang Ali (Sarawak), Abd Halim b. Wan Ismail (Semenanjung Timur), Thomas Fann (Semenanjung Selatan), Simon Lee Ying Wai (Semenanjung Tengah) dan Dato’ Dr Toh Kin Woon (Semenanjung Utara).