SPR licik, gagalkan rayuan persempadanan semula

Kenyataan Media 15 Oktober 2015

SPR licik, gagalkan rayuan persempadanan semula

Ketergesaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyerahkan laporan persempadanan semula Sarawak kepada Jabatan Perdana Menteri telah menggagalkan usaha mencabar persempadanan tersebut, yang ketika itu baru sahaja diputuskan di peringkat Mahkamah Rayuan.

Perbuatan tidak sabar-sabar SPR, yang tidak sempat menanti rayuan difailkan di Mahkamah Persekutuan telah mengagalkan proses keadilan, dan secara langsung menghina proses mahkamah apabila proses undang-undang yang sedang berjalan di peringkat rayuan dipintas oleh kepentingan politik.

Hasil daripada keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini, SPR diberi kuasa tidak tersemak dalam memutuskan maklumat apa yang disampaikan kepada orang ramai, serta meminggirkan hak dan kuasa pengundi untuk meneliti cadangan persempadanan semula SPR bagi menyatakan sebarang bantahan secara berkesan.

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengecam perbuatan jahat SPR, yang jelas begitu beriya mahu supaya persempadan semula tersebut dibentangkan dalam sidang Parlimen yang bakal bermula minggu hadapan, walaupun keputusan rayuan masih dalam proses.

Ini turut memberi isyarat jelas bahawa pilihanraya negeri Sarawak mungkin akan diadakan dalam masa terdekat, demi memberikan legitimasi atau keabsahan terhadap pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak yang dilihat sedang dirundung seribu satu masalah termasuklah skandal ‘derma’ RM2.6 bilion ke akaun peribadinya dan juga skandal hutang 1MDB.

BERSIH 2.0 amat kecewa dengan sikap SPR yang telah menggunakan taktik yang begitu licik untuk menggagalkan tindakan sah mencabar persempadanan semula oleh Adun Batu Lintang See Chee How dan pengundi Ulu Baram Pauls Baya.

Nampaknya harapan kian malap untuk melihat urusan pilihanraya ditadbir secara telus dan amanah. Namun BERSIH 2.0 tidak akan berdiam diri dan tetap komited untuk melawan apa sahaja cubaan penipuan dan memperjuangkan integriti pilihanraya, terutamanya dalam hal persempadanan semula di seluruh negara yang melibatkan pembahagian tidak adil (malapportionment) dan ‘gerrymandering’.

Dikeluarkan oleh,

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, yang terdiri daripada –

Pengerusi: Maria Chin Abdullah; Timbalan Pengerusi: Sarajun Hoda Abdul Hassan; Bendahari: Masjaliza Hamzah; wakil kebangsaan: Prof Madya Dr Abdul Halim bin Yusof, Farhana binti Abdul Halim, Fadiah Nadwa Fikri dan New Sin Yew; naib pengerusi: Jannie Lasimbang (Sabah), Ahmad b. Awang Ali (Sarawak), Abd Halim b. Wan Ismail (Semenanjung Timur), Thomas Fann (Semenanjung Selatan), Simon Lee Ying Wai (Semenanjung Tengah) dan Dato’ Dr Toh Kin Woon (Semenanjung Utara).