Acah ‘peperangan’ ancam demokrasi

Kenyataan Media 26 Oktober 2015

Acah ‘peperangan’ ancam demokrasi

Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Tan Sri Ali Rustam telah dilaporkan berkata bahawa pertubuhannya sedia ‘berperang’ sekiranya dicabar. Kenyataan beliau nampaknya telah mendapat restu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Malah Perdana Menteri sendiri turut mengisytiharkan silat sebagai benteng pertahanan negara ketiga selepas polis dan angkatan tentera. Deklarasi yang sama turut pernah dinyatakan olehnya sebelum perhimpunan Bersih 2 pada 9 Julai 2011.

Setiap kali berlangsungnya perhimpunan aman yang dilihat sebagai menggugat kedudukan parti pemerintah, kita akan turut melihat bunga-bunga ancaman dan ugutan daripada proksi-proksi ultra Melayu untuk cuba mempertahankan kedudukan kuasa parti pemerintah.

Pendekatan sebegini sewajarnya dikecam dan dihentikan, terutamanya apabila ia menggugat amalan demokrasi yang menjamin hak membantah, serta mengganggu keamanan sejagat dan hubungan antara kaum tanpa sebarang tindak balas undang-undang.

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menilai kenyataan Ali Rustam sebagai suatu ancaman serius terhadap keamanan dan demokrasi yang diamalkan dalam negara.

Tidak mungkin sebuah sistem pilihanraya yang adil dan bebas dapat dilaksanakan sekiranya wujud kelompok-kelompok yang bebas mengacah dan mengugut menggunakan kekerasan serta perkelahian secara sesuka hati.

Ugutan sedemikian adalah ancaman kepada demokrasi dan sistem pilihanraya yang bersih serta hak membantah, yang menjadi tuntutan perhimpunan Bersih 4 hujung Ogos lalu.

BERSIH 2.0 justeru menggesa pihak polis untuk menyiasat kenyataan Ali Rustam yang berbaur perkauman tersebut supaya tindakan lanjut dapat diambil.

BERSIH 2.0 menegaskan bahawa kami bersama rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan demokrasi akan terus komited terhadap nilai-nilai tersebut. Manakala mereka yang cuba menjejaskan demokrasi dengan ancaman dan ugutan keganasan pastinya akan terhantar ke bakul sampah sejarah.

Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, yang terdiri daripada –
Pengerusi: Maria Chin Abdullah; Timbalan Pengerusi: Sarajun Hoda Abdul Hassan; Bendahari: Masjaliza Hamzah; wakil kebangsaan: Prof Madya Dr Abdul Halim bin Yusof, Farhana binti Abdul Halim, Fadiah Nadwa Fikri dan New Sin Yew; naib pengerusi: Jannie Lasimbang (Sabah), Ahmad b. Awang Ali (Sarawak), Abd Halim b. Wan Ismail (Semenanjung Timur), Thomas Fann (Semenanjung Selatan), Simon Lee Ying Wai (Semenanjung Tengah) dan Dato’ Dr Toh Kin Woon (Semenanjung Utara).