Kenyataan Media (1) 17 November 2015
Terima kasih kerana menolak Belanjawan 2016
Tiga Ahli Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena), Nik Mazian Nik Mohamed (Pasir Puteh) dan Ahmad Baihaki Atiqullah (Kubang Kerian) telah mengundi menolak Belanjawan 2016, bersama-sama 71 lagi Ahli Parlimen daripada PKR, DAP dan Amanah.
Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada 74 orang wakil rakyat ini yang telah menyatakan pendirian mereka dengan tegas untuk bukan sahaja menolak belanjawan yang membebankan rakyat malah menyatakan pendirian tidak percaya mereka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
BERSIH 2.0 bagaimanapun kesal dan kecewa dengan pendirian dan sokongan 128 Ahli-ahli Parlimen yang melalui sokongan mereka terhadap Belanjawan 2016, telah menyatakan sikap tidak ada terhadap permasalahan akauntabiliti dan korupsi yang melibatkan Perdana Menteri.
128 orang ini termasuklah bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang kedua-duanya begitu lantang mengkritik Perdana Menteri akhir-akhir ini.
Sikap dan pendirian mereka menjadi petunjuk sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri meski selama beberapa bulan akhir-akhir ini berhadapan begitu banyak skandal kewangan, termasuk dakwaan aliran tunai terkait syarikat bermasalah 1MDB ke akaun peribadinya yang turut menjadi tajuk utama laporan akhbar antarabangsa.
Walaupun Belanjawan 2016 telah diterima, namun kami masih berharap supaya usul undi tidak percaya yang telah dikemukakan oleh Ketua Pembangkan Datuk Seri Dr Wan Azizah akan dapat dibahaskan dalam sidang kali ini.
BERSIH 2.0 justeru menyeru dan berharap supaya semua Ahli-ahli Parlimen akan menyokong usul tersebut.
Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, yang terdiri daripada –
Pengerusi: Maria Chin Abdullah; Timbalan Pengerusi: Sarajun Hoda Abdul Hassan; Bendahari: Masjaliza Hamzah; wakil kebangsaan: Prof Madya Dr Abdul Halim bin Yusof, Farhana binti Abdul Halim, Fadiah Nadwa Fikri dan New Sin Yew; naib pengerusi: Jannie Lasimbang (Sabah), Ahmad b. Awang Ali (Sarawak), Abd Halim b. Wan Ismail (Semenanjung Timur), Thomas Fann (Semenanjung Selatan), Simon Lee Ying Wai (Semenanjung Tengah) dan Dato’ Dr Toh Kin Woon (Semenanjung Utara).