GLC punya tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bukan parti politik

Kenyataan Media 18 November 2015

GLC punya tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bukan parti politik

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) melahirkan rasa bimbang dengan kenyataan terbaru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkenaan pendanaan politik oleh syarikat terkait kerajaan (GLC).

Najib Razak dalam jawapan bertulis di Parlimen dilaporkan berkata bahawa “Syarikat milik kerajaan melalui MKD dan GLC tidak memperuntukkan dana tahunan khusus bagi sumbangan kepada ahli politik atau parti politik.”

“Sebaliknya jika terdapat permohonan sumbangan daripada pihak berkenaan, ia dikendalikan seperti mana permohonan sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan lain iaitu berdasarkan keperluan organisasi berkenaan dan ketersediaan baki peruntukan belanjawan CSR syarikat semasa permohonan diterima.”

BERSIH 2.0 berpendirian GLC seharusnya berperanan sebagai aset kerajaan dan mempunyai tanggungjawab kepada rakyat. Tanggungjawab sosial itulah yang dimaksudkan sebagai Corporate Social Responsibility.

GLC tidak mempunyai sebarang tanggungjawab untuk menyediakan dana bagi parti-parti politik, terutamanya bagi menjayakan kempen-kempen politik demi kepentingan individu atau kumpulan tertentu.

Malah, tindakan memberi dana kepada parti-parti politik dilihat boleh menjejaskan keyakinan pelabur terhadap GLC; dan mungkin menyebabkan mereka menjual pegangan dalam GLC tersebut, justeru menyebabkan nilai pasaran GLC tersebut merosot.

Adakah jawapan Perdana Menteri bertujuan menghalalkan (antara lain) ‘derma’ terkait syarikat bermasalah 1MDB berjumlah RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadinya, sepertimana yang telah disahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia?

Jika demikian, adakah Perdana Menteri telah membuat permohonan kepada GLC terbabit untuk mendapatkan sumbangan dana tunai untuk disalurkan terus ke akaun peribadi beliau?

Adakah permohonan tersebut kemudiannya dibawa ke mesyuarat lembaga penasihat 1MDB yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri untuk diluluskan?

BERSIH 2.0 menyelar sebarang tindakan untuk menyalahgunakan aset dan kekayaan kerajaan demi kepentingan parti dan pemimpin politik. Ia bukan sahaja suatu salahguna kuasa secara terang-terangan, bahkan ia membuka laluan kepada korupsi dan rasuah yang tidak terkawal.

Sekiranya GLC ingin menjalankan program CSR, dana tersebut boleh dibelanjakan terus kepada masyarakat yang memerlukannya, tanpa perlu melalui kantung tiris parti-parti politik, apatah lagi pemimpin-pemimpin politik tertentu.

Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, yang terdiri daripada –
Pengerusi: Maria Chin Abdullah; Timbalan Pengerusi: Sarajun Hoda Abdul Hassan; Bendahari: Masjaliza Hamzah; wakil kebangsaan: Prof Madya Dr Abdul Halim bin Yusof, Farhana binti Abdul Halim, Fadiah Nadwa Fikri dan New Sin Yew; naib pengerusi: Jannie Lasimbang (Sabah), Ahmad b. Awang Ali (Sarawak), Abd Halim b. Wan Ismail (Semenanjung Timur), Thomas Fann (Semenanjung Selatan), Simon Lee Ying Wai (Semenanjung Tengah) dan Dato’ Dr Toh Kin Woon (Semenanjung Utara).