Kenyataan Media 15 Disember 2015
‘Cash is king’: Mahathir-Muhyiddin perlu berhenti mencangkul angin
Tun Dr Mahathir beserta Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar mengemukakan cadangan demi menyelamatkan United Malays National Organisation daripada dijahanamkan politik wang.
Usai Perhimpunan Agung Umno minggu lalu, kedua-dua tokoh yang gigih mengkritik permainan politik wang dan kerahsiaan dana politik yang masuk ke kantung peribadi Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak tidak pun mengemukakan sebarang plan tindakan untuk memastikan integriti pembiayaan dana politik.
Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) terpanggil untuk menyeru kedua-dua tokoh ‘rebel’ Umno ini agar tidak sekadar mencangkul angin dan tampil dengan idea-idea praktikal untuk mencantas adat turun temurun Umno yang disifatkan mereka sebagai ‘cash is king’ itu.
Sekiranya tidak mampu, BERSIH 2.0 mencadangkan supaya Mahathir dan Muhyiddin menyokong sahaja saranan 70 badan bukan kerajaan yang dipimpin kumpulan G25 dan BERSIH 2.0 (antara lain) yang telah dilancarkan dua minggu lalu.
Saranan berkenaan pembiayaan dana politik oleh kumpulan terbabit termasuklah mencadangkan supaya dikenakan had terhadap sumbangan secara tahunan, serta ketelusan identiti penderma serta jumlah dermanya serta pengharaman total derma rahsia (slush fund).
Cadangan yang dikemukakan kumpulan ini wajar disokong dan dijaja oleh kem Mahathir-Muhyiddin. Malah mereka patut menjadikan saranan G25 sebagai modal kempen jelajah ke seluruh negara bagi memberi penerangan kepada orang ramai yang berparti dan tidak berparti tentang bahaya pendanaan secara rahsia dan perlunya ketelusan serta akauntabiliti.
BERSIH 2.0 mencabar kedua-dua pemimpin Umno ini supaya menyokong cadangan G25 secara terbuka sekiranya benar mereka betul-betul ikhlas dalam membahaskan ketelusan dan integriti demi menyelamatkan parti mereka dan lebih penting lagi demi menyelamatkan negara.
Sekiranya mereka gagal melakukan sesuatu yang substantif seperti ini ataupun mengemukakan cadangan sendiri, BERSIH 2.0 mengira kem Mahathir-Muhyiddin telah tewas dan menyerah kepada Najib Razak.
Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, yang terdiri daripada –
Pengerusi: Maria Chin Abdullah; Timbalan Pengerusi: Sarajun Hoda Abdul Hassan; Bendahari: Masjaliza Hamzah; wakil kebangsaan: Prof Madya Dr Abdul Halim bin Yusof, Farhana binti Abdul Halim, Fadiah Nadwa Fikri dan New Sin Yew; naib pengerusi: Jannie Lasimbang (Sabah), Ahmad b. Awang Ali (Sarawak), Abd Halim b. Wan Ismail (Semenanjung Timur), Thomas Fann (Semenanjung Selatan), Simon Lee Ying Wai (Semenanjung Tengah) dan Dato’ Dr Toh Kin Woon (Semenanjung Utara).