Halangan masuk terhadap aktivis Indonesia, Mugiyanto – panelis acara Yellow Mania

KENYATAAN MEDIA – 7 JANUARI 2016
Halangan masuk terhadap aktivis Indonesia, Mugiyanto – panelis acara Yellow Mania
Pada jam 12 tengah hari, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) telah dimaklumkan bahawa tetamu jemputan kami untuk Saudara Mugiyanto, telah ditahan di bahagian imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa KL, dan akan dihantar pulang.
Mugiyanto dijadual berucap malam ini di forum tentang gerakan rakyat, bersempena acara Yellow Mania anjuran BERSIH 2.0 sepanjang minggu ini di Dewan Perhimpunan Cina KL & Selangor.
Mugiyanto adalah salah seorang aktivis Indonesia yang pernah ditahan Kopassus sewaktu aksi menentang Orde Baru pimpinan rejim Suharto, ketika gerakan Reformasi berlangsung di Indonesia.
Beliau dijangka berucap malam ini, bagi berkongsi pengalaman dan pendapat beliau bersama hadirin, terutamanya anak-anak mahasiswa.
BERSIH 2.0 mengutuk keras tindakan kebudak-budakan pihak berwajib yang menghalang Mugiyanto daripada berucap dan menghantarnya pulang. Ini satu lagi bukti kerakusan pihak kerajaan pimpinan Barisan Nasional untuk menghalang hak membantah dan bersuara. Mereka seharusnya malu dengan tindakan yang tidak matang dan pendek akal ini.
BERSIH 2.0 akan tetap menghadirkan Mugiyanto ke forum malam ini, melalui aplikasi Skype. Kerajaan ternyata tidak belajar daripada kesilapan mereka sebelum ini menghalang aktivis-aktivis payung kuning Hong Kong daripada bercakap kepada khalayak umum.
BERSIH 2.0 tidak akan terkejut sekiranya forum malam ini turut diganggu pihak keselamatan. Pasukan undang-undang kami akan bersedia berhadapan sebarang kemungkinan.
BERSIH 2.0 ingin menegaskan bahawa kami tidak akan tunduk sama sekali dengan segala intimidasi sang penguasa. BERSIH 2.0 kini berikrar untuk menjelajah keseluruh negara membawa kempen #YellowMania. Kalau dulu hanya suara dan himpunan menjadi ketakutkan pemerintah, kini nampaknya gambar dan mewarna juga telah menjadi satu ketakutan sang pemerintah.
Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, yang terdiri daripada –
Pengerusi: Maria Chin Abdullah; Timbalan Pengerusi: Shahrul Aman Mohd Saari; Bendahari: Thomas Fann; wakil kebangsaan: Ng Geok Chee, Farhana binti Abdul Halim, Fadiah Nadwa Fikri dan Rama Ramanathan; naib pengerusi: Ann Teo (Sarawak), Ong Lai Mun (Semenanjung Selatan), Jay Jay Denis (Semenanjung Tengah) dan Dato’ Dr Toh Kin Woon (Semenanjung Utara).