Parlimen mesti menolak TPPA demi memelihara institusi negara serta pembangunan demokratiknya

Kenyataan Media 

19 Januari 2016

Parlimen mesti menolak TPPA demi memelihara institusi negara serta pembangunan demokratiknya
BERSIH 2.0 menyeru semua Ahli Parlimen tanpa mengira spektrum politik untuk menolak Perjanjian TPPA serta memberi isyarat jelas untuk mempertahankan kedaulatan institusi-institusi di Malaysia.
Pada 29 dan 30 Ogos 2015, ratusan ribu rakyat Malaysia telah menuntut penambahbaikan institusi demi mengukuhkan demokrasi berparlimen serta menyelamatkan ekonomi. Pun begitu, kurang enam bulan kemudian, kerajaan Malaysia nampaknya akan menandatangani sebuah perjanjian yang akan menjejaskan ekonomi setempat sementara memberi kesan buruk terhadap kemampuan institusi awam dalam melaksanakan tuntutan rakyat.

  1. Menjejaskan hak demokratik rakyat untuk menentukan polisi awam

Hak asasi rakyat dalam sebuah negara demokratik ialah keterlibatan langsung mereka dalam pembuatan dasar melalui pilihanraya dan interaksi dengan wakil-wakil rakyat. Demokrasi bergantung kepada kebolehan pengundi untuk menuntut kebertanggungjawaban kerajaan dan supaya kerajaan yang dilantik melaksanakan dasar demi kepentingan rakyat.
Mekanisme Investor-State Dispute Settlement dalam TPPA bakal mencabar tunjang utama proses demokratik ini. Risiko diambil tindakan undang-undang oleh syarikat multinasional telah pun dirasai di Malaysia apabila kerajaan memilih untuk menunggu keputusan kes Philip Morris vs Australia sebelum membuat keputusan melaksanakan plain-packaging. Pasca TPPA, kerajaan Malaysia akan takut-takut untuk mewujudkan undang-undang yang berkepentingan rakyat dan ini akan mengakibatkan hak-hak demokratik rakyat Malaysia dikurangkan.
BERSIH 2.0 terkejut bahawa Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia telah mendapati bahawa hampir 30% syarikat IKS mungkin tutup kedai akibat daripada TPPA manakala kehilangan pekerjaan di negara-negara anggota TPPA boleh mencecah sehingga 771,000. Sekiranya kerajaan Malaysia melaksanakan dasar-dasar yang membetulkan kesan-kesan ini, rakyat berkemungkinan menanggung kos tindakan undang-undang sekiranya kerajaan disaman oleh syarikat asing. Rakyat Malaysia mempunyai hak demokratik untuk menentukan hala tuju Malaysia, melalui peti undi, Parlimen dan mahkamah. TPPA mengubah hak demokratik ini.

  1. Melemahkan kedaulatan negara

TPPA melemahkan Parlimen dan mengehadkan kemampuannya menggubal undang-undang. Dengan cara yang sama, ia mengehadkan badan-badan eksekutif, termasuk negeri-negeri daripada melaksanakan dasar-dasarnya. TPPA juga memenjara mahkamah, dan membenarkan keputusan yang telah dibuat mahkamah tertinggi negara dicabar oleh syarikat-syarikat asing. Rakyat biasa tidak mempunyai akses kepada hak ini. Ini mencabul hak kesetaraan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan menjadikan rakyat Malaysia warga kelas kedua berbanding entiti asing. Bukan saja TPPA membuang kuasa membuat dasar daripada kerajaan, ia memindahkan kuasa badan-badan negara untuk menjadi pengantara pertikaian antara syarikat asing dan negara ke mahkamah arbitrasi antarabangsa, yang tidak memiliki sistem semak imbang terhadap salahguna sistem. Daripada mengambil jalan mudah, BERSIH 2.0 menuntut kerajaan untuk memperbaiki sistem mahkamah serta menangani dakwaan rasuah dan berat sebelah dalam sistem undang-undang negara. Akses keadilan adalah sangat penting bagi menarik pelabur tempatan dan antarabangsa, justeru badan kehakiman negara mesti diperkasa demi menyokong keperluan ini.
BERSIH 2.0 mengulangi gesaan Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Alfred-Maurice de Zayas untuk memansuhkan mekanisme ISDS dalam perjanjian-perjanjian dagang, dan sebaliknya meletakkan pertikaian dagang di dalam bidang kuasa setempat.

  1. Kurangnya ketelusan

Rundingan TPPA telah gagal menepati standard ketelusan. Teksnya didedahkan kepada awam pada 5 November 2015 manakala perjanjian tersebut dijangka diundi di Parlimen pada 26 Januari 2016, justeru memberikan orang ramai hanya tiga bulan untuk menghadam 6,000 muka surat yang mengandungi lebih dua juta jargon undang-undang yang rumit. Ini sekali lagi bertentangan dengan cadangan De Zayas, yang berhujah bahawa negara-negara mesti memastikan parlimen, institusi hak asasi manusia dan para ombudsman dilibatkan pada setiap tahap perjanjian dagang.
Melihat kepada perkara ini, BERSIH 2.0 menyokong protes Anti-TPPA pada 23 Januari dan mengajak kesemua penyokong perhimpunan Bersih 1,2,3 dan 4 untuk menyertai kami di Dataran Merdeka pada jam 2 petang. Rakyat Malaysia mesti melawan sebarang usaha, dari dalam mahupun luar negara, yang mahu mencabar hak rakyat untuk menentukan masa depan negara.
 
Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, yang terdiri daripada –
Pengerusi: Maria Chin Abdullah; Timbalan Pengerusi: Shahrul Aman Mohd Saari; Bendahari: Thomas Fann; wakil kebangsaan: Ng Geok Chee, Farhana binti Abdul Halim dan Fadiah Nadwa Fikri; naib pengerusi: Ann Teo (Sarawak), Ong Lai Mun (Semenanjung Selatan), Jay Jay Denis (Semenanjung Tengah) dan Dato’ Dr Toh Kin Woon (Semenanjung Utara).