Penemuan yang mengejutkan dalam analisa MERAP

Kenyataan Media

21 Januari 2016 

Penemuan yang mengejutkan dalam analisa MERAP

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) bersama Malaysia Electoral Roll Anaysis Project (MERAP) merasa amat terkejut dengan penemuan terkini daripada analisa yang dibuat selepas selesai proses persempadanan semula negeri Sarawak.
Penemuan daripada analisa MERAP adalah seperti berikut:

  1. Barisan Nasional dijangka menang 9 daripada 11 kerusi baru di Negeri Sarawak jika trend pengundian yang sama berlaku seperti PRU13 yang lalu.
  2. Di kawasan mesra BN yang diwujudkan, telah didapati bahawa saiz purata kawasan pilihan raya tersebut telah menguncup daripada 25% hingga 47%.
  3. Telah didapati juga, terdapat ketidakseimbangan yang lebih teruk di setiap kawasan DUN yang dengan jelas melanggar prinsip satu pengundi, satu undi dan satu nilai.

BERSIH 2.0 dan MERAP menegaskan sekali lagi bahawa persempadanan semula negeri Sarawak adalah bertertentangan dengan Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan kerana:

  1. Tidak mengikut ketetapan dalam Seksyen 2(c) yang menyebut dengan jelas bahawa setiap kawasan pilihan raya harus lebih kurang sama.
  2. Tidak menitikberatkan pertimbangan politik dalam melukis sempadan, yang tidak disebut sebagai syarat spesifik di bawah Seksyen 2.
  3. Telah gagal memberikan maklumat yang sewajarnya kepada kumpulan pengundi yang terjejas sepertimana yang termaktub dalam Seksyen 4(a).

Sekali lagi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dilihat menjuarai kepentingan politik dan bukannya melindungi kepentingan pengundi. Oleh demikian, BERSIH 2.0 dan MERAP sekali lagi menggesa agar kesemua Ahli  SPR meletakkan jawatan kerana telah gagal melaksanakan tugas mereka dengan penuh integriti dan telah gagal menikmati kepercayaan umum.
BERSIH 2.0 dan MERAP menzahirkan kekecewaan kerana walaupun pelbagai kecurangan telah dilaporkan sebelum ini, SPR masih dilihat tidak melakukan apa-apa untuk menambahbaik perjalanan tugas mereka. Jelas sekali, SPR telah terus gagal secara konsisten. Dengan melantik Pengerusi yang baru dari kalangan anggota SPR sendiri, nampaknya bahawa tiada usaha telah dilakukan untuk meningkatkan intergriti dan kebebasan SPR.
Dikeluarkan oleh:-
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 dan Malaysia Electoral Roll Anaysis Project (MERAP)