Kenyataan Media (7 Jun 2016): Dua soalan untuk calon Pilihan Raya Kecil

[English version]


Sebagaimana yang sedia maklum, kemalangan tragis helikopter terhempas beberapa ketika yang lalu menyebabkan kekosongan dua kerusi parlimen, Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
BERSIH 2.0 merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga dan para sahabat yang terkesan dengan tragedi ini. Walaupun dengan susulan pilihan raya kecil ini, tidak harus kita lupa bahawa ada pihak yang telah kehilangan rakan dan insan tersayang.
BERSIH 2.0 maklum bahawa pertembungan berbilang penjuru untuk kawasan Sungai Besar dan Kuala Kangsar merupakan suatu perkara yang tidak dapat dielakkan. Walhal pada hakikatnya, pertembungan berbilang penjuru ini mungkin menunjukkan realiti malap yang harus kita hadapi menuju Pilihan Raya Umum ke 14 yang akan datang.
Pada masa yang sama, BERSIH 2.0 amat bimbang kerana tidak pernah di dalam sejarah negara, kita berhadapan dengan skandal seperti yang diterajui sendiri oleh Dato Sri Najib, Perdana Menteri Malaysia, yang mana segala keputusan yang muncul lebih berteraskan kepada survival persendirian dan tidak kepada kepentingan negara.
Kami percaya bahawa kedua-dua pilihan raya kecil ini perlu menyampaikan mesej yang cukup jelas berkenaan penyalahgunaan kuasa yang meluas, kemusnahan institusi negara dan kecurian wang rakyat yang mesti dihentikan. Rakyat Malaysia kini menerima musibah yang besar akibat daripada skandal RM42 bilion, 1MDB, dan ia merupakan antara insiden-insiden rasuah, ketirisan dan salah urus yang lain.
Untuk pilihan raya kecil yang akan datang ini, sebagai rakyat Malaysia, kami mengajukan dua soalan ringkas kepada calon dari Barisan Nasional, Parti Amanah Negara (AMANAH), Parti Islam Se-Malaysia(PAS), dan calon bebas untuk kedua-dua kawasan yang bertanding. Ini akan membantu dan mendorong para pengundi untuk memilih calon terbaik yang mampu mewakili kepentingan dan kesejahteraan mereka. Dua soalan tersebut adalah seperti berikut:
Soalan 1
Sekiranya anda dilantik menjadi ahli parlimen, adakah anda akan menyokong penyingkiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan 10 pembaharuan institusi yang dituntut oleh BERSIH 2.0?
Soalan 2
Sekiranya anda dilantik menjadi ahli parlimen, adakah anda akan menyokong pembaharuan untuk memastikan pilihan raya yang bersih dan adil, termasuk perakaunan kewangan yang telus oleh calon?
Bagi membantu para pengundi, kami meminta calon-calon untuk memberikan jawapan dalam tempoh 3 hari melalui satu kenyataan media. Kami percaya bahawa pengundi perlu jelas mengenai isu-isu ini supaya mereka boleh membuat pilihan bermaklumat. Jika tiada maklum balas, BERSIH 2.0 akan menganggap bahawa jawapan kepada kedua-dua soalan adalah dalam negatif.
Kami berterima kasih kepada calon-calon untuk perhatian mereka. Semoga orang yang terbaik akan menang.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH2.0