Jawatankuasa BERSIH 5 di seluruh negara akan membuat laporan polis pada minggu ini terhadap Ketua Bahagaian UMNO, Jamal Yunos kerana telah mengeluarkan kenyataan provokasi di laman Facebook beliau pada 21 September yang lalu.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau jelas berbentuk amaran bahawa peristiwa 13 Mei akan berulang jika perhimpunan BERSIH 5 tetap diteruskan pada 19 November ini.
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 menyokong kumpulan-kumpulan yang akan membuat laporan polis berkenaan dengan kenyataan yang telah dibuat oleh Jamal Yunos dan menggesa Pasukan Polis Diraja Malaysia untuk menyiasat kenyataan itu di mana kenyataan tersebut jelas bertujuan untuk melakukan keganasan dan pertumpahan darah.
BERSIH 2.0 tetap komited kepada prinsip perhimpunan aman dan hak kebebasan bersuara. Hak untuk berbeza pendapat adalah antara tuntutan utama BERSIH 5, tetapi hak ini perlu dijalankan tanpa keganasan atau gangguan. Ancaman keganasan yang ditujukan kepada sekumpulan rakyat tidak pernah dilindungi di bawah hak ini dan ia adalah salah satu bentuk ugutan jenayah.
BERSIH 2.0 amat berbangga dengan semua peserta Konvoi BERSIH 5 yang bersikap tenang walaupun terdapat provokasi. Tujuan utama Konvoi BERSIH 5 adalah menuntut perubahan institusi negara dan kesan skandal rasuah.
Sokongan orang ramai di seluruh negara amat memberangsangkan. BERSIH 2.0 berharap agar kita semua dapat meneruskan gerak kerja kita dan memberi kesedaran kepada semua rakyat Malaysia sehingga 19 November tanpa ancaman dan ugutan oleh pemimpin-pemimpin UMNO.
Dikeluarkan oleh:-
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0