Pengerusi BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah dan keluarga terima ugutan lagi. Kali ini pelaku telah menyimbah cat merah ke atas kereta anak beliau dalam kejadian 2.56 pagi tadi. Maria dimaklumkan tentang kejadian oleh kakak beliau.
BERSIH 2.0 mengutuk perbuatan keji yang dilakukan terhadap Maria dan keluarga. Perbuatan ganas seperti ini perlu dihentikan. BERSIH 2.0 menuntut tindakan pantas diambil ke atas samseng-samseng dan pelaku jenayah ini. Kami juga menuntut kawalan keselamatan sepanjang masa ke atas Maria dan keluarga.
BERSIH 2.0 melihat ini sebagai satu bentuk keganasan dan intimidasi berbaur politik bukan sahaja ke atas Maria dan keluarga tetapi juga ke atas gerakan rakyat, BERSIH 2.0. Semua perbuatan ini adalah bertujuan untuk menghentikan konvoi dan perhimpunan BERSIH yang dilihat telah berjaya dalam menyebarkan mesej untuk penambahbaikan institusi negara.
BERSIH 2.0 merupakan sasaran yang sebenar tetapi pengecut-pengecut yang bertanggungjawab ke atas keganasan berbaur politik ini telah menyalurkan kehampaan dan perbezaan pendapat mereka kepada Maria, tiga anak beliau dan juga rakan sekerja beliau.
Perbuatan terkutuk yand disasarkan kepada Maria dan BERSIH 2.0 selama 2 minggu ini termasuk:
-
Poster palsu menuduh Maria mempromosikan pertukaran Sembahyang Jumaat bagi orang Islam kepada Sabtu. Ini merupakan satu tuduhan fitnah.
-
Ugutan bunuh yang dibuat oleh Ali Tinju terhadap beliau. Tiada sebarang tindakan yang diambil sehingga hari ini. Ali masih bebas.
-
Ugutan bunuh ala IS dibuat ke atas Maria, 3 anak beliau, Mandeep Singh & Dato Ambiga Sreenevasan.
-
Ugutan-ugutan bunuh yang dilakukan oleh Jamal Yunos terhadap Maria, Mandeep dan Ambiga. (http://www.kinitv.com/video/40110O8)
-
Pagi ini dan yang terbaru cat merah disimbah pada kereta anak Maria.
Perbuatan-perbuatan ini walaupun kelihatan terpencil, ia dilihat bertujuan untuk menaikkan rasa kekeliruan, ketidakpercayaan dan juga untuk memburukkan pergerakan BERSIH 2.0. Kebebasan bersuara adalah sesuatu yang penting dan suci dalam demokrasi yang perlu dikekalkan dan dijaga dalam apa jua keadaan. Apa juga bentuk perbezaan pendapat tidak sepatutnya dizahirkan dalam bentuk keganasan politik.
Perbuatan terkutuk ini seharusnya tidak mengalihkan pandangan kita terhadap isu sebenar dan yang lebih penting melibatkan reformasi dalam institusi dan juga perbincangan tentang skandal 1MDB dan korupsi di bawah pentadbiran Najib.
BERSIH 2.0 tekad dalam meneruskan program-program yang sudah dirancang kerana tuntutan kami masih lagi belum dipenuhi oleh kerajaan yang tidak bertanggungjawab. Kami tidak akan berhenti dalam perjuangan untuk pilihanraya yang bersih, kerajaan yang bersih, pengukuhan demokrasi berparlimen, hak untuk berbeza pendapat dan juga pemerkasaan Sabah dan Sarawak.
BERSIH 2.0 mengesa semua rakyat Malaysia untuk mengutuk keganasan politik dan hadir beramai-ramai pada 19 November 2016 di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching. Kita mesti menunjukkan kepada kerajaan yang kita tidak takut dan rakyat Malaysia mahukan perubahan.
Intimidasi dan keganasan politik tidak ada tempat dalam pembentukan demokrasi dalam Malaysia baru.
Satukan Tenaga
Malaysia baru.
Ditandatangani oleh Ahli Jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0