Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah, ditahan di Langkon, Sabah pada 29 Oktober 2016 kerana menyebarkan risalah BERSIH 5. Beliau ditahan untuk diambil keterangan di balai polis Kota Marudu pada pukul 2.21 petang, dan tiada sesiapa yang dibenarkan bersama beliau. Beliau dilepaskan dengan ikat jamin pada pukul 4.07 petang.
Alasan penahanan Maria adalah beliau didakwa di bawah Seksyen 11 (2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana menyebarkan risalah.
Pihak polis mengugut untuk menahan penduduk di Langkon yang menerima risalah dan mereka telah mengambil maklumat penduduk yang telah menerima risalah.
BERSIH 2.0 menolak tindakan polis yang menahan orang awam atas alasan yang tidak munasabah, iaitu menerima risalah. Ini adalah tindakan yang bermotifkan politik dan menunjukkan betapa terdesaknya pihak berkuasa untuk menyekat pergerakan BERSIH.
Jelas, BERSIH telah berjaya dalam usaha untuk menyebarkan maklumat kepada rakyat dan ini telah menyebabkan pihak berkuasa terdesak dan bertindak untuk menyekat BERSIH dengan menggunakan kekerasan dan ugutan.
Penahanan Maria di Sabah adalah tindakan terdesak pihak berkuasa yang cuba untuk menyekat suara rakyat yang berbeza pendapat, walaupun ia adalah satu komponen yang diperlukan dalam masyarakat demokratik yang sihat.
Dalam kejadian yang berasingan pada 30 Oktober 2016, polis telah menyekat YB Charles Santiago daripada menyebarkan risalah BERSIH 5 di Klang, dengan menyatakan beliau telah melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Polis juga telah menggugut untuk menangkap Charles. Di Johor, #KonvoiBERSIH5 telah disekat di empat sekatan jalan raya berlainan yang dijalankan oleh polis. Ini jelas menunjukkan bahawa pihak berkuasa berusaha dengan keras untuk menghalang usaha BERSIH 5 tetapi kami tidak akan gentar dengan tindakan mereka yang menyekat aktiviti kami.
BERSIH 2.0 juga mengkritik tindakan polis yang mengugut untuk menangkap penduduk di Langkon dan mencatit segala butiran maklumat penduduk yang telah menerisa risalah.
Dengan penyalahguaan kuasa yang berleluasa, pihak berkuasa pertama sekali mensasarkan organisasi dan peguam yang menyokong BERSIH dan kini mereka mensasarkan kekerasan kuasa ke atas individu yang tidak bersalah. Ini jelas menunjukkan betapa jauh kita telah tersasar dari satu masyarakat yang berdemokrasi, di mana rakyat yang jujur dan tidak bersalah boleh diugut untuk ditahan atas alas an menyebarkan risalah.
BERSIH 2.0 terus komited untuk meneruskan usaha pembaharuan institusi yang termasuk: pilihanraya yang bersih, kerajaan yang bersih, pengukuhan demokrasi berparlimen, hak untuk untuk membantah dan pemerkasaan Sabah dan Sarawak.
Jika menuntut pembaharuan institusi mewujudkan perasaan takut dalam kepimpinan negara, gerakan BERSIH kini adalah lebih diperlukan sebagai ‘check and balance’ terhadap sebuah kerajaan yang terlalu selesa menyalahgunakan undang-undang untuk kepentingan mereka.
Kami menggesa rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan yang padu kepada BERSIH 2.0 dan menyertai kami di BERSIH 5 pada 19 November.
Satukan Tenaga, Malaysia baru.
Ditandatangani oleh Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0