BERSIH 2.0 telah memutuskan laluan-laluan untuk peserta perhimpunan BERSIH 5 di Kuala Lumpur pada 19 November 2016 yang akan bermula pada 10 pagi sehingga 6 petang.
Terdapat dua tempat berkumpul bagi peserta perhimpunan iaitu di Dataran Maybank yang terletak di Jalan Bangsar dan Masjid Negara; dan kemudiannya berhimpun di Dataran Merdeka. (Sila rujuk pada peta yang disertakan).
BERSIH 2.0 sudah pun menyerahkan Notis 10 hari kepada PDRM seperti yang termaktub di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 untuk perhimpunan pada November 19 nanti. Notis telah dihantar ke balai polis di Brickfields, Dang Wangi, Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
BERSIH 2.0 akan melakukan tindakan susulan dengan pihak polis dalam minggu akan datang dan akan memberikan sepenuh kerjasama dengan pihak berkuasa. Kami berharap pihak polis akan berkerjasama dengan kami dan menyediakan anggota dan keselamatan pada 19 November nanti.
Sekarang ini, BERSIH 2.0 mempunyai 1,000 anggota keselamatan dan juga 80 pegawai perubatan termasuk doktor, jururawat dan paramedik yang akan bersiap sedia untuk perhimpunan BERSIH 5.
Perhimpunan BERSIH 5 ini dibuat sebagai satu respon kepada krisis politik yang dibawa oleh skandal 1MDB. BERSIH melihat ini sebagai satu kegagalan dalam sistem demokratik negara dan mencadangkan 5 tuntutan untuk pembaharuan dalam institusi negara. Ia adalah:
1) Pilihanraya Bersih
2) Kerajaan Bersih
3) Kukuhkan Demokrasi Berparlimen
4) Hak Membantah
5) Memperkasa Sabah dan Sarawak
BERSIH 2.0 menggesa rakyat Malaysia bersama-sama untuk menyertai perhimpunan BERSIH 5. Tidak turun membantah bukan lagi satu pilihan ketika krisis politik negara semakin meruncing. Kita mesti menunjukkan bahawa segala bentuk intimidasi dan ugutan keganasan setakat ini tidak akan menghentikan kita dari turun ke jalan pada 19 November.
Kami juga ingin mengulang desakan untuk Najib meletakkan jawatan dan memberikan laluan supaya penyiasatan bebas dapat dilakukan terhadap dana penipuan yang digunakan untuk memenangi Pilihanraya Umum ke 13 yang diadakan pada tahun 2013.
Kita mesti mengambil pendirian yang tegas terhadap rasuah besar yang melanda negara kita dan juga sistem tadbir urus yang lemah. Kita mesti bersatu dalam perjuangan untuk Malaysia yang lebih baik.
Satukan tenaga, Malaysia baru.
Ditandatangani oleh Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0