KENYATAAN MEDIA (8 NOVEMBER 2016): Bersih 2.0 telah mematuhi semua ketetapan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 untuk menjalankan perhimpunan Bersih 5 di Kuala Lumpur

[ENGLISH VERSION]

BERSIH 2.0 ingin menegaskan bahawa kami telah memenuhi semua keperluan yang ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 untuk mengadakan perhimpunan Bersih 5 di Kuala Lumpur pada 19 November 2016.

Pada 28 Oktober 2016,Bersih 2.0 telah menyerahkan notis 10 hari yang dikehendaki di bawah Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman ke ibu pejabat PDRM di Bukit Aman, IPD Dang Wangi, IPD Brickfields dan IPK Kuala Lumpur. Notis tersebut bertujuan memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa perhimpunan Bersih 5 akan diadakan pada 19 November, dari 10 pagi hingga 6 petang. Kami ingin menegaskan bahwa notis tersebut bukan suatu permohonan atau kebenaran untuk mengadakan perhimpunan tersebut.

Di bawah Akta Perhimpunan Aman, permit atau kebenaran tidak diperlukan untuk mengadakan perhimpunan aman.

Pematuhan kami terhadap Akta Perhimpunan Aman merangkumi semua konvoi BERSIH yang berlangsung sejak 1 Oktober 2016 pada setiap hujung minggu. BERSIH telah menyerahkan notis untuk setiap kawasan di mana konvoi berlangsung dan pihak IPD tempatan telahpun membalas dan memperakui penerimaan notis kami. Oleh sebab itu, kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa kami tidak mengemukakan notis untuk konvoi adalah salah dan kami menuntut beliau menarik balik dakwaan beliau yang tidak berasas itu.

BERSIH 2.0 juga ingin menyatakan bahawa Kementerian Dalam Negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengharamkan BERSIH (atau golongan baju merah),seperti yang disyorkan oleh Timbalan Perdana Menteri Dato Ahmad Zahid Hamidi. Kementerian tidak mempunyai bidang kuasa di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 atau Akta Pertubuhan 1966 untuk berbuat demikian dan larangan tersebut tidak mematuhi perlembagaan.

Sekiranya beliau lupa, isu bahawa BERSIH tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah pun dibangkitkan pada tahun 2012. Tindakan Menteri Dalam Negeri ketika itu ialah Dato Seri Hishamuddin Hussein, mengisytiharkan BERSIH 2.0 sebagai sebuah pertubuhan haram telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi. Hakim Rohana Yusof berkata bahawa keputusan itu telah “tercemar dengan tidak rasional”. (http://www.thestar.com.my/news/nation/2012/07/25/court-quashes-ministers-order/)

Bersih 2.0 menganggap itu adalah cubaan terdesak pihak berkuasa untuk meredakan konvoi BERSIH dan perhimpunan BERSIH 5. Isu notis, larangan tidak rasional Timbalan Perdana Menteri, dan kenyataan Datuk Bandar Kuala Lumpur bertujuan untuk menghalang BERSIH dan menakut-nakutkan rakyat supaya tidak menyertai aktiviti kami.

Ia merupakan satu lagi taktik untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu penting iaitu rasuah “derma” yang disalurkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak, penyelewengan dana awam besar-besaran melalui 1MDB untuk membiayai belanja PRU-13 dan yang terkini, persempadanan semula pilihan raya yang berat sebelah dan tidak mematuhi Perlembagaan Malaysia.

Pada 19 November ini, perhimpunan BERSIH 5 bertujuan untuk mengetengahkan isu-isu yang melanda negara dan menggesa agar kerajaan bertindak lebih bertanggungjawab dan demokratik untuk memastikan penyalahgunaan kuasa tidak akan berlaku lagi.

Kami menyeru rakyat Malaysia agar menyertai kami di perhimpunan BERSIH 5 di Kuala Lumpur,Kuching dan Kota Kinabalu untuk menuntut pilihan raya yang bersih, kerajaan yang bersih, demokrasi berparlimen yang kuat, hak untuk berbeza pendapat, dan pemerkasaan Sabah dan Sarawak. Kerana kita berhak memiliki Malaysia yang lebih baik.

Berdiam diri bukan lagi pilihan.

Ditandatangani oleh Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0