KENYATAAN MEDIA (17 NOVEMBER 2016): BERSIH 2.0 menyeru rakyat Malaysia untuk turun ke jalanraya menjelang BERSIH 5 dan satukan tenaga demi Malaysia yang baru

[ENGLISH VERSION]

Pada hari Sabtu ini, BERSIH 2.0 akan turun berhimpun buat kali ke-lima untuk BERSIH secara aman, untuk menentang skandal korupsi 1MDB, dan menuntut pembaharuan institusi demi negara Malaysia yang baru.
BERSIH 2.0 sudahpun memenuhi semua syarat di bawah Akta Perhimpunan Awam 2012 dan akan meneruskan himpunan BERSIH 5 seperti yang dirancang.
Pada 19 November 2016, peserta-peserta akan berkumpul di dua tempat – LRT Bangsar (Dataran Maybank) dan Masjid Negara – pada pukul 10 pagi. Pada jam 12.30 petang, kumpulan-kumpulan peserta akan bersatu di Dataran Merdeka di mana program himpunan akan bermula sebelum dijadual untuk tamat pada pukul 6 petang.
Semua anggota pasukan keselamatan BERSIH yang berpakaian warna ungu akan ditempatkan di tiga lokasi utama: LRT Bangsar, Masjid Negara, dan Dataran Merdeka. Pasukan yang merangkumi 1,400 ahli ini akan mengendalikan semua insiden konfrontasi, keganasan, dan hal keselamatan am. Peserta-peserta yang berdepan dengan sebarang provokasi dinasihatkan supaya tidak melibatkan diri dan beredar dari tempat kejadian. Ahli keselamatan akan mengambil-alih situasi sebegini. Untuk maklumat yang lebih terperinci, sila rujuk kepada panduan keselamatan dan tatakelakuan yang dilampirkan dengan kenyataan ini.
Kami juga ada menyediakan pasukan Urgent Arrest. Jika berlaku sebarang penangkapan, SMS nama penuh, nombor IC, dan tempat penangkapan ke talian 011-21376814 or 011-39376684.
Jika berlaku sebarang kejadian kecemasan yang berkaitan dengan kesihatan, pasukan perubatan kami yang seramai 160 ahli siap sedia menghulurkan bantuan. Hantarkan SMS kepada talian hotline medik di 011-39440069.
Untuk berita terkini dan perkembangan terbaru, ikutilah rangkaian-rangkaian rasmi BERSIH 2.0: Facebook (www.facebook.com/BERSIH2.0OFFICIAL), Twitter (www.twitter.com/bersih2), dan Instagram (www.instagram.com/bersihdua). Jangan lupa muatturun app rasmi kami, Prime, untuk maklumat terlanjut melalui telefon bimbit anda.
BERSIH 5 diumumkan sebuah kejayaan
Program BERSIH 5 telah bermula pada 1 Oktober 2016 dengan konvoi BERSIH 5, dengan tujuan menyebarkan mesej BERSIH mengenai pembaharuan institusi di kawasan-kawasan luar bandar. Dari segi ini, BERSIH 5 sudahpun mencapai kejayaan.
Sepanjang 7 minggu ini, konvoi BERSIH 5 telah melawati 236 bandar, pekan, dan kampung di seluruh pelosok Malaysia di mana kehadiran dan mesej kami telah diterima dengan baik. Kejayaan yang dicapai oleh konvoi kami adalah hasil kerjasama ahli-ahli jawatankuasa tempatan, peserta-peserta, dan semua penyokong yang berdiri teguh memastikan konvoi berjalan dengan lancar walaupun diganggu oleh sesetengah pihak.
Konvoi BERSIH 5 akan berkemuncak pada himpunan aman 19 November ini di Kuala Lumpur, Kuching, dan Kota Kinabalu.
Kami akan turun jalan raya kerana keadaan di Malaysia semakin teruk. Pentadbiran yang bobrok serta kekurangannya akauntabiliti merupakan punca skandal korupsi 1MDB. Tambahan lagi, aktiviti persempadanan semula kawasan pilihanraya yang melanggar perlembagaan negara oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan terus menyebabkan pilihanraya kami tidak bersih dan adil. Suara-suara yang berbeza pendapat ditindas, mana kala kegiatan jenayah berunsurkan ugutan dan keganasan oleh samseng terus digalakkan.
Menjelang hari himpunan, BERSIH 2.0 menyeru semua rakyat Malaysia untuk menyertai kami dan turun ke jalan raya pada hari Sabtu ini untuk menuntut:
1) Pilihan raya bersih
2) Kerajaan bersih
3) Kukuhkan demokrasi berparlimen
4) Hak membantah
5) Memperkasa Sabah dan Sarawak

Bagi mereka yang tidak dapat hadir ke BERSIH 5, tunjukkan sokongan anda dengan memakai baju BERSIH atau baju yang kuning, atau memaparkan sesuatu dengan kuning.
Mari kita bersatu dan sampaikan satu pesanan kolektif yang kuat kepada kerajaan bahawa kami layak menuntut sebuah negara Malaysia yang lebih baik.
Satukan tenaga, Malaysia baru.
Dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pemandu BERSIH2.0