Mengolah persetujuaan dan mengalih pandangan – Alfian Zohri

KUALA LUMPUR: Lebih kurang seminggu yang lalu, saya dihubungi oleh bekas rakan sekerja – Mandeep Singh – yang memberitahu saya bahawa polis di Bukit Aman sedang mencari saya untuk disoal siasat.
Saya beranggapan bahawa Mandeep hanya bergurau tetapi sangkaan saya silap. Dia serius mengatakan bahawa memang saya sedang dicari oleh polis. Sempat juga saya diberitahu bahawa beberapa kenalan lain turut sama dicari oleh pihak berkuasa untuk membantu siasatan didalam kes Maria Chin Abdullah.
Dipendekkan cerita, tidak lama kemudian saya menerima panggilan telefon daripada seorang Inspektor wanita yang memberitahu bahawa saya perlu hadir ke ibu pejabat polis Bukit Aman. Saya bertanya akan hal ini dan saya dimaklumkan bahawa saya dipanggil untuk membantu siasatan keatas Maria.
Termanggu saya seketika, mengapa saya perlu dipanggil? Saya bukan ahli jawatankuasa Bersih 2.0 dan saya juga tidak terlibat didalam penganjuran perhimpunan Bersih. Akan tetapi benar bahawa saya pernah bekerja di badan bukan kerajaan itu tetapi perkara itu berlaku empat tahun yang lepas.
Saya terus berfikir dan cuba mendapatkan gambaran sebenar mengapa saya dicari pihak polis. Saya mendapat gambaran kecil selepas saya diberitahu dua teman lama saya turut dipanggil polis. Mereka adalah Amin Shah Iskandar – mantan editor Malaysian Insider dan Thency Gunasegaran – teman yang saya kenali sewaktu belajar di Seoul.
Kami bertiga dipanggil kerana pernah terlibat atau pernah menjadi pelatih di May 18 Memorial Foundation – badan hak asasi manusia yang terletak di daerah Gwangju Korea Selatan.
Walaubagaimanapun, saya tetap berfikiran bahawa tiada keperluan untuk pihak polis memanggil kami bertiga hanya untuk menyiasat Maria. Apa keperluan menyoal kami sedangkan kami tidak mempunyai apa apa hubungan dengan Bersih 2.0.
Jika siasat ini menjurus kepada soal dana asing, atau hubungan Maria dengan May 18 (kerjasama asing) pihak polis telah memanggil orang
yang salah.
Umum mengetahui bahawa Maria baru baru ini telah diiktiraf sebagai penerima hak asasi manusia daripada May 18 akan tetapi adalah salah jika pihak kerajaan mahu melabel pengiktirafan tersebut sebagai campur tangan asing.
Menerima pengiktirafan bukanlah sesuatu yang pelik dinegara ini. Malaysia juga memberi pengiktirafan sebegitu. Lupakah kita bahawa pendakwah kelahiran India Zakir Naik pernah menerima tokoh Maal Hijrah daripada Malaysia walaupun beliau terpalit dengan beberapa kenyataan kontroversi.
Saya berpendapat bahawa pihak polis boleh menjimatkan masa dan tenaga pegawai pegawai mereka jika mereka pada awalnya menjadikan google sebagai langkah permulaan. Semua data data atau info mengenai May 18 telah dimuat naik ke dalam laman sesawang mereka yang sudah pun dialih bahawa kepada Bahasa Inggeris.
Polis ajen Umno?
Jadi seperti yang dijanji, saya ke Bukit Aman Khamis yang lalu bersama peguam. Saya telah ditanya akan hubungkait saya bersama Maria dan arwah suaminya Yunus Ali. Turut ditanya adalah pengalaman saya bersama May 18 dan tugas saya di NGO tersebut.
Apa yang boleh saya katakan kepada pihak polis? Saya hanya seorang pelatih biasa. Mana mungkin saya diberi tugas mengendali akaun NGO tersebut dan apakah pihak polis berfikiran bahawa saya mempunyai kuasa untuk menentukan setiap program program mereka?
Soalan yang ditanya kepada saya lebih kurang sama dengan apa yang disoal kepada Amin dan Thency. Pada hemat saya, kami bertiga tidak mampu untuk ‘menolong’pihak polis dalam perkara ini.
Disebalik perkara ini, saya juga tidak dapat menahan diri daripada berpendapat yang arahan menyoal siasat mereka mereka yang rapat dengan Maria telah datang daripada parti Umno sewaktu persidangan agung Umno.
Buktinya adalah sewaktu ucapan penggulungan naib president Umno Ahmad Zahid Hamidi. Timbalan Perdana Menteri berucap dengan menyentuh soal revolusi. Beliau menggunakan perkataan tersebut untuk mengukur demonstrasi jalanan. Tidak cukup dengan itu, ahli parlimen Bagan Datoh itu turut menamakan organisasi seperti Suaram dan Malaysiakini sebagai organisasi yang turut menjalankan kegiatan ‘revolusi bawah tanah’.
Mungkin Zahid perlu diberitahu akan konsep ‘keingkaran awam’. Akan tetapi, saya percaya Zahid tahu akan konsep ini. Mana tidaknya, beliau adalah bekas pelajar Universiti Malaya pada zaman 70an. Zahid juga adalah rakan baik kepada ‘kaki demo’ Hishamuddin Rais dan Yunus Ali.
Setelah menghentam gerakan demonstrasi Bersih, Zahid menyamakan demo jalanan itu dengan beberapa siri revolusi di eropah dan timur tengah. Nama yang turut dipetik adalah George Soros – orang yang dikatakan bertanggungjawab di dalam menyalurkan dana kepada revolusi di Ukraine dan Georgia.
Dengan penuh semangat, Zahid turut menekankan bahawa perlunya dianjurkan satu badan siasatan untuk menyiasat dengan lebih mendalam tentang isu dana asing yang diterima oleh badan hak asasi manusia yang lain.
Oleh kerana ucapan Zahid itu, saya dan yang lain lain telah dipanggil oleh pihak polis. Hanya selepas beberapa hari ucapan itu dibuat. Jadi ianya jelas pada hemat saya yang bahawa polis seolah olah mendengar mendengar ucapan penutup naib presiden Umno itu dan mengambil tindakan segera.
Panggilan telefon yang saya terima, tidak mungkin datang secara tidak sengaja.
Makna ucapan Zahid.
Jika kita meneliti ucapan Zahid tempoh hari, kita dapat membaca dan membayangkan kemana arah siasat keatas Maria ini sedang berlangsung. Dalam real-politik, ucapan Zahid itu adalah taktik mengolah persetujuan – satu teori yang dibawa oleh Noam Chomsky (juga seorang yahudi).
Dengan liputan media tempatan dan antarabangsa, ianya mudah untuk Umno menyebarkan maksud tersiratnya. Perhimpunan Umno itu juga adalah satu lapangan yang sempurna didalam usaha parti itu untuk memomokkan badan badan hak asasi manusia.
Lebih mudah untuk Umno menekankan kepada negara bahawa khabar khabar ‘gerakan bawah tanah’yang menggugat keselamatan negara sedang diusahakan oleh NGO NGO ini.
Idea ini diwujudkan untuk memberi gambaran kasar bahawa NGO NGO ini mendapat arahan daripada kuasa asing untuk menyah-stabilkan keamanan negara melalui idea-idea barat (western ideologies)
Seterusnya, ianya akan dijadikan umpan untuk mendapat persetujuan awam bahawa tindakan menerima dana asing ini adalah satu perkara jenayah dan salah dari segi undang undang negara.
Selepas itu, barulah idea asal itu dijadikan persetujuan umum bahawa NGO NGO pro-demokrasi adalah sosok yang diwujudkan untuk menumbangkan kerajaan.
Tidakkah semua ini memudahkan kerja mengolah persetujuan orang ramai yang bakal digunakan untuk mewajarkan tindakan menahan Maria dan mana mana  individu pada masa hadapan dibawah aktiviti yang menggugat keselamatan negara.
Selain taktik megolah persetujuan, taktik lain yang diguna pakai adalah taktik mengalih pandangan. Didalam hal penahanan Maria dibawah Sosma ini adalah contoh mengalih pandangan.
Ini perlu digerakkan segera kerana pada saat ini, imej kepimpinan negara sedang berada ditahap yang buruk. Imej perdana menteri ‘is at stake’. Seluruh dunia sedang memerhati dan mahu mengetahui perihal skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Oleh itu, imej dan skandal rasuah kepimpinan negara ini perlu dialih. Dan mangsanya kali ini adalah badan bukan kerajaan yang menuntut ketelusan dan keterbukaan. Oleh yang demikian, Maria adalah orangnya.
Dengan mengolah persetujuan serta mengalih pandangan rakyat daripada isu sebenar, Umno dapat mengukuhkan kedudukan seraya memperbaiki imej Najib Razak.
Umno dan Najib sedanga berada ditampuk kuasa yang sempurna. Ini terjadi selepas Umno turut mendapat dokongan politik daripada parti PAS. Tentangan Mahathir Mohamad turut tidak dapat mematahkan kuasa kepimpinan Najib Razak.
Akan tetapi, sampai bilakah semua ini akan berlangsung? Hanya tuhan saja yang tahu. Walaupun begitu, rakyat Malaysia wajib menolak daripada membenarkan diri mereka dipaling dan dikalih dari imej masalah sebenar iaitu Malaysian Official 1 (MO1).