Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH2.0) bersama dengan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) mengemukakan memorandum dan aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.
Memorandum dan aduan tersebut berkaitan dengan perlanggaran hak asasi manusia oleh pihak polis dan kerajaan dalam dua isu utama, iaitu:
(1) Perhimpunan aman BERSIH5
(2) Penahanan Maria Chin Abdullah di bawah SOSMA
(1) PERHIMPUNAN AMAN BERSIH 5
Sebagaimana yang diketahui, perhimpunan BERSIH 5 telah berlangsung pada 19 November 2016. BERSIH5 berlangsung secara aman tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini walaupun terdapat provokasi berulang-kali daripada kumpulan baju merah.
Akan tetapi, terdapat perlbagai salah laku dan perlanggaran hak asasi yang dilakukan oleh pihak polis dan kerajaan.
– Pada 17 November 2016, Ketua Polis Negara mengisytiharkan bahawah BERSIH5 ialah suatu perhimpunan haram walaupun BERSIH telah menghantar notis yang secukupnya seperti yang diperuntukkan dalam Akta Perhimpunan Aman.
– Pada 18 November 2016, iaitu sehari sebelum perhimpunan aman BERSIH5, sejumlah 16 aktivis dan ahli politik telah ditahan, termasuk Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah, dan Pengurus BERSIH, Mandeep Singh.
– Pejabat BERSIH turut diserbu, dan laptop, telefon bimbit, dan dokumen dirampas oleh pihak polis.
– Pada hari perhimpunan BERSIH5, pihak polis telah mengadakan sekatan jalan raya secara besar-besaran di sekitar tempat perhimpunan. Ini bertujuan menghalang kenderaan dan para peserta daripada menyertai perhimpunan tersebut.
– Pihak polis juga menghalang sistem pembesar suara dan ambulans daripada memasuki kawasan perhimpunan. Ini membahayakan keselamatan peserta kerana menyusahkan pengawalan orang ramai (crowd control) dan penyampaian bantuan medikal.
Pada pendapat kami, tindakan-tindakan pihak polis dan kerajaan seperti yang dinyatakan di atas merupakan penyalahgunaan kuasa untuk menakutkan dan menyusahkan orang ramai supaya tidak menyertai BERSIH5. Pihak polis juga berniat jahat dan tidak jujur, kerana pihak BERSIH telah memberi kerjasama penuh kepada mereka, termasuk mengadakan perbincangan dengan OCPD Dang Wangi dan menghantar notis secukupnya.
Tindakan pihak polis telah menyekat kebebasan berhimpun dan bersuara rakyat, dan ini adalah bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Selain itu, Perkara 19 dan Perkara 20 dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) turut menjamin kebebasan berhimpun dan bersuara secara aman.
(2) PENAHANAN MARIA CHIN ABDULLAH DI BAWAH SOSMA
Maria Chin Abdullah ditahan pada 18 November 2016, ketika pejabat BERSIH diserbu oleh pihak polis. Beliau kemudiannya ditahan di bawah SOSMA selama 10 hari, di mana pelbagai hak asasi beliau telah dilanggar.
Maria telah dilarang daripada berjumpa dengan ahli keluarga dan peguam untuk mendapatkan nasihat guaman dalam 48 jam pertama penahanan. Beliau hanya dibenarkan berjumpa peguam dan keluarga sekali sahaja pada 20 november. Selanjutnya, pegawai peniasat polis tidak membenarkan.
Sepanjang penahanan10 hari, Maria dikurung secara bersendirian (solitary confinement) dalam satu bilik kecil tanpa tingkap, dan lampu dibuka 24 jam. Maklumat tempat ditahan juga tidak diberitahu kepada peguam atau ahli keluarga. Penyiasatan terhadap beliau dijalankan terus menerus setiap hari selama 6-7 jam sehari.
Tindakan-tindakan ini merupakan suatu bentuk penderaan fizikal dan mental, dan bercanggah dengan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.
Ketika digubal di parlimen, pihak kerajaan telah menegaskan bahawa SOSMA adalah langkah balas terhadap terrorisme dan tidak akan digunakan untuk tujuan politik. Ini juga termaktub di bawah Seksyen 4(3) SOSMA, iaitu “Tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya”
Oleh itu, penahanan Maria di bawah SOSMA adalah suatu penyalahgunaan kuasa. Tindakan ini bermotifkan politik dan berkait rapat dengan peranan Maria dalam menganjurkan perhimpunan BERSIH5 dan menuntut reformasi institusi dan akauntabiliti dalam isu korupsi 1MDB.
SOSMA ialah suatu akta yang banyak bercanggah dengan hak asasi manusia kerana ia bersifat menghukum tanpa melalui proses sebarang perbicaraan dan penghakiman.
KESIMPULAN
BERSIH dan SUARAM akan menyerahkan memorandum yang mengandungi huraian dan maklumat penuh tentang isu-isu pelanggaran hak asasi ketika BERSIH5 dan penahanan Maria di bawah SOSMA kepada pihak SUHAKAM.
Kami menyeru SUHAKAM untuk:
1. Menjalankan penyiasatan dan pendengaran terbuka ke atas aduan-aduan pencabulan hak asasi manusia oleh Ketua Polis Negara dan pihak polis seperti yang dinyatakan di atas;
2. Mengesyorkan bahawa Akta SOSMA dimansuhkan kerana ia bertentangan dengan terlalu banyak prinsip hak asasi manusia dan Perlembagaan Persekutuan.
3. Mengumumkan kepada orang awam tentang keputusan penyiasatan, tindakan-tindakan dan cadangan-cadangan Suruhanjaya ke atas aduan-aduan di atas.
Memorandum Penuh:
Memorandum Aduan Kepada SUHAKAM (20 Disember 2016)