KENYATAAN MEDIA (24 JANUARI 2017): HENTIKAN TINDASAN TERHADAP ORANG ASLI

[ENGLISH VERSION]

BERSIH 2.0 amat terkejut mendapat tahu bahawa Jabatan Perhutanan Kelantan (JPK) sekali lagi telah memusnahkan sekatan Orang Asli di Simpang Petei dan menahan lima orang aktivis semalam.
Tindakan yang tidak bertimbang rasa ini adalah suatu ancaman terhadap kehidupan masyarakat Orang Asli, dan bersifat ketamakan. Sebagai peringatan, penduduk Orang Asli di Simpang Petei telah diiktiraf sebagai pemilik sah kepada tanah tersebut dalam suatu keputusan mahkamah minggu lepas. (http://www.malaysiakini.com/news/369558)
Tindakan Jabatan Perhutanan jelas sekali telah mencabul hak asasi manusia dan menjejaskan hak kehidupan Orang Asli kerana kehidupan mereka berkait rapat dengan tanah adat.
BERSIH 2.0 juga dimaklumkan bahawa aktivis-aktivitis yang ditahan tidak dibawa ke balai polis, tetapi dibawa ke pejabat Jabatan Perhutanan. Pegawai-pegawai turut merampas barangan peribadi seperti motosikal dan telefon bimbit, dan menghalang perhubungan luar dengan komuniti Orang Asli di sana.
Pagi ini, 16 lagi orang aktivis dan dua wartawan juga telah ditahan. Jabatan Perhutanan juga dilaporkan sedang bersedia memusnahkan satu lagi sekatan Orang Asli.
Perbuatan Jabatan Perhutanan Kelantan adalah keterlaluan. Mereka telah melampaui bidang kuasa serta mengabaikan semua prosedur dan proses undang-undang berkaitan. Kelakuan mereka menyerupai samseng dan melanggar undang-undang Malaysia. Ini tidak boleh digalakkan atau ditoleransi lagi.
Kerajaan negeri Kelantan mesti memohon maaf dengan serta-merta dan mengiktiraf secara terbuka hakmilik Orang Asli ke atas tanah adat mereka.
Segala penindasan dan pemusnahan harta yang dilakukan terhadap masyarakat Orang Asli juga mesti dihentikan segera. Semua aktiviti pembalakan haram di hutan simpanan kekal Balah juga perlu dihentikan kerana bertentangan dengan undang-undang dan hak masyarakat Orang Asli.
Ditandatangani oleh ahli-ahli jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0.