KENYATAAN MEDIA (17 FEBRUARI 2017): UNIVERSITI MALAYSIA SABAH HARUS MENGGUGURKAN SEMUA TINDAKAN DISIPLIN DAN PENINDASAN TERHADAP MAHASISWA

[ENGLISH VERSION]

BERSIH 2.0 dimaklumkan bahawa Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengikut langkah Universiti Malaya (UM) dengan mengancam tindakan disiplin terhadap dua mahasiswanya, Mukmin Nantang dan Nurul Aqilah Muhammad Zainuzi atas penyertaan mereka di perhimpunan BERSIH 5 tahun lepas.

UMS jelas tidak menghormati kebebasan mahasiswa-mahasiswi dengan membatasi hak-hak perlembagaan yang menjamin kebebasan bersuara, berhimpun, dan berpesatuan. UMS sepatutnya mempertahan hak-hak Mukmin dan Nurul Aqilah yang berani dan matang mengambil bahagian dalam proses demokratik dan menyumbang membentuk tanah air yang lebij baik, dan bukannya diugut dengan tindakan.

Sebagai sebuah institusi pendidikan yang terkemuka, UMS wajib menggalakkan wacana yang bernas dan pemikiran kritikal, tanpa mengira kedudukan politik. Dengan mengenakan tindakan terhadap mahasiswa yang cuma menggunakan hak-hak mereka seperti yang termaktub dalam perlembagaan, jelas sekali UMS bukan sebuah institusi yang terbuka.

BERSIH 2.0 menyeru UMS menghentikan semua prosiding disiplin yang dikenakan ke atas Mukmin dan Nurul Aqilah dan mengakui hak dan kebebasan yang dijamin oleh Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, atau sekurang-kurangnya memelihara reputasinya sebagai sebuah institusi pendidikan yang wajar.

BERSIH 2.0 turut menyaran pihak-pihak berkuasa untuk meneliti kenyataan SUHAKAM yang mendesak pembaharuan mustahak dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang cuma membuntukan pergerakan mahasiswa-mahasiswi kita sekarang.

Masa sudah tiba untuk menghentikan semua penindasan dan sekatan terhadap anak muda, dan sebaliknya bekerjasama membina sebuah Malaysia di mana anak muda dapat berkembang dengan maju.

Ditandatangani oleh ahli-ahli jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0