BERSIH 2.0 telah mengesan satu percubaan untuk menipu dalam pilihan raya akan datang melalui ‘pemindahan’ pengundi dalam daftar pemilih tambahan suku keempat tahun 2016 bagi negeri Melaka di bahagian pilihan raya persekutuan Bukit Katil dan satu bahagian pilihan raya negeri di bawahnya, Bukit Baru.
1. Di Bukit Baru, sejumlah 73 pengundi baru berdaftar di dua alamat:
ii. seramai 41 di Batu 4½, Kampung Bukit Beruang (tiada nombor rumah diberikan).
2. Di Bachang, satu lagi DUN di bawah bahagian pilihan raya persekutuan Bukit Katil, seramai 46 pengundi baru mendaftarkan alamat mereka sebagai Batu 21/2 Solok Musai, tanpa memberi sebarang nombor rumah/bangunan.
Angka-angka ini jauh lebih tinggi daripada purata bilangan pengundi baru di kawasan lain. Ia menimbulkan kemungkinan wujudnya usaha sengaja dan terselaras untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya bagi kedua-dua bahagian terbabit yang dimenangi dengan tipis pada pilihan raya sebelumnya: DUN Bukit Baru dimenangi dengan hanya 48 undi (0.2%) manakala bahagian pilihan raya persekutuan Bukit Katil pula dengan 5,733 undi (6.6%).
Ini bukan sahaja berlaku di negeri Melaka tetapi juga di Johor dan Selangor, seperti yang didedahkan masing-masing oleh ADUN Tan Hong Pin dan ADUN Ng Suee Lin pada bulan Februari 2017.
Bagaimanakah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan pendaftaran yang mencurigakan sebegini? Alamat rumah yang terperinci dan betul adalah maklumat pengundi yang penting, di samping nombor kad pengenalan, yang dapat memastikan daftar pemilih yang bersih. Daftar pemilih yang bersih ialah permintaan BERSIH 2.0 yang konsisten, yang telah membawa kepada beribu-ribu rakyat Malaysia berarak buat kali pertama pada tahun 2007 dan empat kali lagi sejak itu. Kenapakah SPR tidak dapat menjalankan tugas paling asas ini sampai sekarang?
Lebih teruk lagi, SPR dilaporkan memberitahu Tan bahawa tidak salah sekiranya pengundi mengubah alamat mereka tanpa berpindah rumah dengan izin pemilik rumah tersebut yang membenarkan alamatnya digunakan sedemikian. Adakah SPR sedar ia melanggari Perkara 119(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang mengandaikan bahawa seseorang seharusnya bermastautin di bahagian pilihan raya di mana dia mengundi?
BERSIH 2.0 menggesa:
• Pengundi-pengundi dan parti politik untuk lebih berhati-hati dalam memeriksa daftar pemilih tambahan yang akan datang yang akan dipaparkan (mungkin pada bulan Mei). Sebagai barisan pertahanan yang pertama dalam menghalang pengundi ragu daripada berdaftar di bahagian pilihan raya mereka, mereka mesti membantah kepada SPR.
• Rakyat yang layak mengundi untuk mendaftar sebagai pengundi sekiranya mereka belum berbuat demikian kerana dengan mengundi, mereka akan dapat menangani kesan daripada pengundi ragu. Mereka perlu segera membuat aduan kepada SPR sebaik sahaja mendapati nama mereka belum tersenarai dalam daftar pemilih tambahan yang akan datang, dan bersedia untuk menentang bantahan terhadap pendaftaran mereka.
• SPR untuk menjalankan tugas mereka seperti yang termaktub dalam Peraturan 13(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 untuk menolak pengundi ragu. Sebagai pihak berkuasa yang diamanahkan untuk menjalankan pilihan raya bagi rakyat, adalah menjadi tugas SPR untuk memberhentikan ‘pemindahan’ pengundi sebegini, yang melanggari perlembagaan!
BERSIH 2.0 menjangkakan lebih banyak kes penipuan pilihan raya akan timbul menjelang pilihan raya umum yang akan datang. Maka hari ini, kami melancarkan hotline untuk menangani masalah pengundi seperti ini dan yang selainnya yang berkaitan dengan pilihan raya.
BERSIH 2.0 hotline (Isnin-Jumaat; 10 pagi – 5 petang):
• 011-1131 3803
• [email protected]
Kita mesti bergabung usaha dan bersama-sama menegakkan undi kita. BERSIH 2.0 hotline ialah seruan untuk bertindak menentang pelanggaran terhadap hak kita untuk pilihan raya yang bebas dan adil.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Induk BERSIH 2.0