KENYATAAN AKHBAR (28 April 2017): Semakan terhadap pengundi hantu dihalang oleh akses terhad kepada rang daftar pemilih tambahan

BERSIH 2.0 amat terkejut dengan tindakan terkini Suruhanjaya Pilihan Raya yang melarang pengedaran salinan rang daftar pemilih tambahan kepada parti-parti politik.
Surat Setiausaha SPR Abdul Ghani Salleh, yang dilihat oleh BERSIH 2.0, mengarahkan semua pengarah negeri untuk mematuhi arahan itu berikutan keputusan di mesyuarat suruhanjaya pada 28 Mac 2017. Setelah mendapatkan penjelasan lanjutan daripada pejabat pendaftar SPR, BERSIH 2.0 mendapati bahawa bukan sahaja buku mahupun cakera padat tidak boleh diberi kepada parti politik, malah penjualan cakera padat kepada mereka pun tidak dibenarkan.
Sebelum ini, salinan rang daftar diberi secara percuma kepada parti-parti politik dalam bentuk PDF.
Mengapakah SPR menyukarkan lagi penggunaan daftar tersebut oleh pihak yang berkaitan, terutamanya tatkala pilihan raya umum semakin hampir?
Kesannya adalah penghalangan semakan rang daftar pemilih sebelum ia diwartakan, kerana mustahil rang daftar pemilih dapat diteliti apabila ia hanya dipamerkan di pejabat SPR dan majlis tempatan dalam bentuk buku dan hanya dapat dirujuk pada waktu pejabat yang sememangnya terhad.
Ini bermakna saluran untuk memastikan daftar pemilih yang bersih kini menjadi lebih kecil lagi. Sebaik sahaja daftar pemilih diwartakan, Seksyen 9A Akta Pilihan Raya menghalang sebarang cabaran terhadapnya. Pengaturan masa langkah ini amat mencurigakan kerana ia dibuat setelah banyak pihak termasuk BERSIH 2.0 menyuarakan kebimbangan mengenai alihan pengundi secara haram dalam daftar pemilih tambahan suku ketiga dan keempat bagi tahun 2016.
Perbuatan SPR menghadkan akses kepada rang daftar pemilih menunjukkan ia seolah-olah kurang berminat dalam memudahkan sekatan dan imbangan bagi daftar pemilih yang telus dan bersih, tetapi sebaliknya pula membolehkan penipuan pilihan raya dengan tidak menghentikan pengundi hantu di pintu masuk. Inikah pesanan yang mahu disampaikan oleh SPR?
BERSIH 2.0 menuntut agar SPR memberi rang daftar pemilih tambahan kepada semua pihak yang berminat, daripada parti politik kepada badan bukan kerajaan, penyelidik dan mana-mana orang awam yang terkesan, pada kos minima sekiranya SPR mahu cuba membaiki imejnya yang sudah teruk tercemar itu.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Induk BERSIH 2.0