KENYATAAN AKHBAR (3 Mei 2017): Rakyat Malaysia perlu akses kepada media yang bebas dan adil

Pada Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, BERSIH 2.0 ingin mengingatkan semua rakyat Malaysia mengenai keperluan untuk bersuara dan mempertahankan kebebasan penting ini tanpa mana kita tidak akan mampu untuk mempertanggungjawabkan orang yang berkuasa, mendedahkan rasuah dan menyelesaikan isu-isu sosial.
Kebebasan media bukan kebebasan untuk melaporkan pembohongan sebagaimana yang kerap didakwa oleh pengkritik tertentu yang mempunyai kepentingan yang bertentangan. Kebebasan media ialah kebebasan wartawan untuk menjalankan tugas mereka dengan baik dengan menjunjung prinsip-prinsip dan amalan kewartawanan.(1)
Secara khusus, ia adalah kebebasan wartawan untuk:
· Memenuhi tanggungjawab pertama mereka, iaitu kepada kebenaran, dan kesetiaan terdahulu mereka, iaitu kepada rakyat.
· Mematuhi disiplin pengesahan, yang memerlukan kebebasan bersuara dan maklumat
· Mengekalkan kebebasan daripada pihak yang diliputi mereka
· Berfungsi sebagai pemantau yang bebas daripada golongan yang berkuasa
· Menyediakan forum bagi kritikan awam dan tolak-ansur
· Berusaha untuk memastikan perkara yang penting adalah menarik dan relevan
· Memastikan berita yang menyeluruh dan berkadar
· Memenuhi hati nurani peribadi mereka.
Walau bagaimanapun, realiti pemilikan, kawalan dan sosialisasi di Malaysia telah menyongsangkan tanggapan kebebasan media sehingga tanggungjawab media dikatakan adalah untuk berkhidmat kepada pemerintah, yang terus memiliki konglomerat media utama sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Kewajipan ini yang disifatkan sebagai tanda ketaatan telah menerap ke bawah dan seterusnya menghalang wartawan dan pengarang daripada memberi liputan yang seimbang serta memaksa mereka untuk menapis kendiri berita atau menanggung kemungkinan mereka hilang pekerjaan mereka dan malah, yang semakin menjadi, kemungkinan keselamatan mereka terjejas.
Namun di sebalik menghadapi cabaran yang sukar ini, beberapa media dan wartawan terus melaporkan kebenaran dan memberi liputan yang adil dan seimbang kepada isu-isu. Kepada anggota-anggota Fourth Estate yang berani ini, BERSIH 2.0 mengucapkan terima kasih dan menabik mereka atas ketabahan yang ditunjukkan.
Memandangkan pilihan raya umum yang keempat belas akan diadakan tidak lama lagi, maka adalah tepat pada masanya untuk BERSIH 2.0 mengingatkan semua mengenai peranan penting media semasa pilihan raya dan tuntutan awam kami untuk akses kepada media yang bebas dan adil. Media mesti memberi maklumat yang adil mengenai parti-parti politik, dasar dan calon-calon mereka, supaya pengundi berupaya memilih kerajaan yang mereka hendaki. Orang ramai perlu menuntut syarikat media untuk memberi ruang kepada semua parti-parti politik, dan bukan sahaja parti pemerintah, untuk menyuarakan pandangan dan membentangkan manifesto mereka agar pengundi boleh mendapatkan maklumat daripada calon sendiri mengenai apa yang akan diperjuangkan oleh mereka. Juga penting adalah peranan pemantau media dalam mengetengahkan tingkah laku semua pihak yang berkepentingan yang boleh diterima serta juga yang harus ditolak.
Oleh itu, rakyat perlu menguatkan tuntutan BERSIH 2.0 untuk akses kepada media yang bebas dan adil, yang kita hanya boleh capai dengan menuntut kebebasan media. Kerana seperti institusi lain yang berfungsi demi kepentingan awam, media juga memerlukan sokongan orang ramai.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Induk BERSIH 2.0
—————————–
(1) Bill Kovach and Tom Rosenstiel (2001), The Elements of Journalism: What Newspeople Should Know and the Public Should Expect.