KENYATAAN AKHBAR (12 Mei 2017): BERSIH 2.0 alu-alukan penggantungan persempadanan semula negeri Melaka

BERSIH 2.0 mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi Melaka untuk mengeluarkan perintah penggantungan pada prosiding siasatan tempatan bagi cadangan persempadanan semula negeri Melaka oleh Suruhanjaya Pilihan Raya sehingga semakan kehakiman untuk kes tersebut diselesaikan.
Ini merupakan satu perkembangan yang sangat penting kerana persempadanan semula masih merupakan satu punca pilihan raya yang tidak adil. Hakikat ini juga tidak dibantu oleh kekurangan ketelusan dalam proses tersebut, seperti yang didedahkan dalam cabaran mahkamah oleh peguam dan aktivis sosial Haris Ibrahim untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan prosedur tersebut, yang malangnya berakhir di Mahkamah Persekutuan minggu ini dengan memihak kepada SPR.
Dengan keputusan Mahkamah Persekutuan, SPR, yang telah lama menimbulkan keraguan serius mengenai kebebasannya berdasarkan tindakannya dahulu dan sekarang, dibenarkan untuk terus bertindak dalam cara yang tidak dipertanggung jawabkan. Terdapat ketidaksamarataan yang teruk *dalam jumlah pengundi di antara bahagian pilihan raya di negeri yang sama (“malapportionment”) dan penggarisan sempadan yang tidak memelihara hubungan tempatan (“gerrymandering”). Ia sedang dicadangkan oleh SPR untuk memihak kepada parti pemerintah di banyak bahagian pilihan raya, seperti yang didedahkan oleh BERSIH 2.0 dan kumpulan penyelidik lain yang meneliti isu ini. Kes “malapportionment”*  yang serius boleh membawa kepada keputusan pilihan raya yang sudah diketahui sebelum ia diadakan pun, yang pada dasarnya menipu pengundi daripada mendapatkan perwakilan yang dikehendaki mereka.
Namun walau betapa kegembiraan BERSIH 2.0 dengan keputusan mahkamah di Melaka hari ini, kami sebenarnya mengharapkan bahawa mahkamah membenarkan penggantungan prosiding bagi seluruh negara. Ini kerana tidak pernah berlaku perilaku SPR yang meneruskan proses persempadanan semula ke tahap semakan semula cadangan tanpa melibatkan negeri Selangor, yang telah mendapat perintah penggantungan ke atas prosiding siasatan tempatan selepas cadangan pertama dan di mana semakan kehakiman sedang dijalankan. keputusan SPR untuk meninggalkan Selangor daripada proses itu tidak mengikut Perkara 113 (6) Perlembagaan Persekutuan, yang mengatakan semua negeri Tanah Melayu adalah sesuatu unit kajian semula bagi tujuan persempadanan.
Walau bagaimanapun, perintah penggantungan yang diberi bagi cadangan persempadanan semula Selangor dan Melaka menunjukkan terdapat masalah serius yang wajar dipertimbangkan oleh mahkamah. Umum sudah pun mengetahui bahawa daftar pemilih yang merupakan dasar proses ini amat bermasalah, dengan nama-nama yang tidak mempunyai alamat penuh dan pemindahan pengundi ragu, terutamanya ke dalam bahagian pilihan raya yang marginal, yang melanggar peraturan pilihan raya dan juga Perlembagaan Persekutuan.
Persempadanan bahagian pilihan raya yang adil adalah satu asas pilihan raya yang adil. Ini kali pertama ia dilakukan berdepan dengan rakyat yang telah sedar dan dipimpin oleh BERSIH 2.0.
SPR akan berdepan dengan lebih banyak lagi cabaran mahkamah. Kami, rakyat Malaysia, tidak akan berputus asa tanpa melawan balik.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Induk BERSIH 2.0
*Diperbetulkan
 
*****************
Kronologi Kes Semakan Kehakiman terhadap Persempadanan Semula oleh SPR DI MELAKA
(Dikemaskini pada 4 April 2017)
Tujuh orang pengundi Melaka memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Melaka bagi mencabar cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Mereka memohon supaya mahkamah membatalkan cadangan persempadanan semula ini kerana bercanggah dengan perlembagaan. Antara asas-asas bantahan ialah:

  • Pengecualian Negeri Selangor – Negeri Selangor[1] dikecualikan dalan Syor Kedua persempadanan semula ini walaupun Perlembagaan Persekutuan membayangkan bahawa persempadan semula patut dijalankan bersama-sama sebagai satu unit untuk semua negeri.
  • Pembahagian tidak sekata – Berlakunya ketidakadilan di mana saiz-saiz kawasan Parlimen dan DUN di Melaka adalah tidak sekata. Sebagai contoh, N19 Limbongan yang dicadangkan oleh SPR mempunyai 31,250 pengundi, berbanding dengan N5 Taboh Naning yang mempunyai 8,198 pengundi (3.81 kali ganda). Ini adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa bilangan pengundi untuk kawasan-kawasan pilihan raya patutlah lebih kurang sama banyak.
  • Pemecahan Hubungan Tempatan – Cadangan SPR telah bercanggah dengan kehendak Perlembagaan Perseketuan yang menyatakan bahawasa perhatian harus diberi kepada pemeliharaan hubungan tempatan semasa proses persempadanan. Sebagai contoh, kawasan Batu Berendam telah digabungkan dengan kawasan Limbongan untuk membentuk satu kawasan DUN, walaupun kawasan-kawasan ini jauh berbeza daripada segi kepentingan penduduk dan corak sosio-ekonomi.
  • Penggunaan Daftar Pemilih yang salah – SPR tidak menggunakan daftar pemilih yang terkini untuk proses persempadanans semula seperti yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan.
  • Pengundi Tanpa Alamat – suatu kajian oleh NGO Engage telah mendapati bahawa terdapat 44,190 pengundi di negeri Melaka yang disenaraikan dalam daftar pemilih tetapi alamat mereka tidak tersenarai. Ini menimbulkan keraguan terhadap integriti proses persempadanan semula oleh SPR.

14 April 2017
Kes dibentangkan kepada Y.A Dato’ Vazeer Alam Bin Mydin Meera, Hakim Mahkamah Tinggi Melaka. Hakim menetapkan  21 April 2017 untuk perbicaraan permohonan kebenaran semakan kehakiman ini.
21 April 2017
Perbicaraan permohonan kebenaran semakan kehakiman ini dijalankan. Barisan peguam diterajui oleh Dato Ambiga Sreenevasan. Hakim menetapkan 3 Mei 2017 untuk memberi keputusan tentang permohonan kebenaran ini.
3 Mei 2017
Mahkamah membuat keputusan untuk membenarkan permohonan semakan kehakiman yang dibawa oleh tujuh orang pengundi. Hakim menyatakan bahawa kes ini mempunyai asas yang munasabah dan bukannya berniat jahat.
Hakim turut mendengar hujahan mengenai permohonan penggantungan proses persempadanan semula sementara menunggu penyelesaian kes ini, dan menetapkan 12 Mei 2017 untuk memberi keputusan tentang permohonan penggantungan ini.
12 Mei 2017
Keputusan permohonan penggantungan.
 
[1] Kerajaan Selangor telah memfailkan semakan kehakiman pada Disember 2016. Mahkahamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengeluarkan perintah penggantungan terhadap proses persempadanan semula untuk negeri Selangor dan kes ini masih sedang berlangsung.