Menjelang pilihan raya umum yang semakin hampir, inilah masa keemasan untuk menuntut perubahan substantif kepada sistem pilihan raya kita, sebagaimana kita berjaya mendapatkan Jawatankuasa Terpilih Parlimen bagi Penambahbaikan Pilihan Raya yang pertama pada tahun 2012 sebelum pilihan raya umum ketiga belas (PRU13) yang dinanti-nantikan itu.
Penubuhan jawatankuasa itu dengan sendirinya cukup bermakna kerana ia menunjukkan bahawa pihak berkuasa telah mendengar suara rakyat yang dilaungkan melalui tiga perhimpunan raksasa yang mendahuluinya dan serta kenyataan BERSIH 2.0 yang kerap.
Namun hanya dua cadangan daripada 22 yang diberi oleh jawatankuasa tersebut dilaksanakan pada pilihan raya umum yang menyusulinya tidak lama selepas itu – iaitu peruntukan berkenaan pengundian luar negara dan pengundian awal oleh kakitangan media. Namun begitu, undi pos bagi rakyat Malaysia di luar negara tidak dilaksanakan dengan baik memandangkan hanya 6,000 daripada lebih sejuta rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara mengundi, ditambah lagi masalah yang berpunca daripada kekurangan maklumat, kakitangan terlatih dan keselamatan tatacara.
Lima tahun kemudian, menjelang pilihan raya umum yang ke-empat belas, tiba juga masanya untuk mempertimbangkan langkah yang amat diperlukan untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap pilihan raya supaya tiada kesangsian terhadap kesahihan pemenang dalam persaingan ini di mana pertaruhannya kian meningkat memandangkan dinamik politik yang sudah jauh berubah. Pilihan raya mesti dimenangi dengan adil dan dilihat sebagai sedemikian supaya kehendak rakyat benar-benar dipenuhi seperti yang dijanjikan oleh demokrasi.
Ke arah matlamat ini, BERSIH 2.0 hari ini melancarkan kempen reformasi pilihan raya kami, “Pertahankan Nilai Undi Anda!” (#UndiSayaPenting)
Kempen ini bermula dengan penyerahan rasmi memorandum kami secara serentak kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pejabatnya di Putrajaya, Kota Kinabalu, Alor Star, Kota Bharu, George Town, dan Ipoh, serta Johor Bahru pada tarikh kemudian.
Memorandum itu menyenaraikan tuntutan kami terhadap SPR yang boleh dilaksanakan dalam tempoh 10 bulan. Langkah-langkah ini diolah untuk meningkatkan ketelusan, kebertanggungjawaban dan kecekapan dalam semua proses pilihan raya dan pihak berkuasa, serta memulihkan sekatan dan imbangan di antara semua pihak daripada SPR ke parti politik dan pengundi.
Tuntutan penambahbaikan kami ialah:
- Pelantikan dan penstrukturan semula SPR yang bebas dan bertanggungjawab secara langsung kepada Parliamen;
- Membasmi korupsi dan politik wang;
- Melaksanakan Pendaftaran Pemilih Secara Automatik;
- Menjalankan suatu audit yang lengkap terhadap daftar pemilih dan mewujudkan langkah-langkah bagi memperkukuh dan mempertahankan integritinya;
- Menyemak semula syarat-syarat kelayakan dan proses untuk pengundi tidak hadir, terutamanya bagi pengundi Sabah dan Sarawak, dan pengundi Malaysia yang bermastautin di luar negara;
- Membenarkan pemerhati pilihan raya tempatan dan antarabangsa untuk berfungsi secara bebas sepanjang pilihan raya;
- Mewujudkan sempadan pilihan raya yang adil untuk menggantikan cadangan terkini Suruhanjaya Pilihan Raya yang bertentangan dengan perlembagaan;
- Mewujudkan persekitaran yang membolehkan liputan media dijalankan dengan bebas dan adil semasa pilihan raya;
- Melaksanakan tempoh kempen selama 21 hari.
Hanya tinggal lebih daripada setahun sehingga tarikh terakhir pilihan raya umum mesti diadakan mengikut perlembagaan, SPR boleh dan harus bertindak ke atas permintaan kami dengan segera jika ia serius mengenai misinya untuk “menegakkan sistem demokrasi berparlimen dan memastikan hak rakyat untuk memilih wakil mereka dengan mengurus, memantau dan menjalankan pilihan raya secara bebas dan adil”.
Kami rela bekerja dengan SPR secara sukarela dalam melaksanakan langkah-langkah ini demi PRU14 yang bebas dan adil, dengan syarat bahawa pilihan raya tidak boleh diadakan sehingga pembaharuan ini dilaksanakan.
BERSIH 2.0 juga mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan SPR mengenai cadangan Jawatankuasa Terpilih Parlimen lima tahun yag lalu – iaitu, untuk mengkaji sistem pilihan raya alternatif ke arah menggantikan sistem first-past-the-post ini. Kami percaya Malaysia perlu memasukkan unsur perwakilan berkadar seperti senarai parti ke dalam sistem pilihan raya sebagai kaedah yang lebih berkesan dan menyeluruh yang mencerminkan pilihan raya yang adil. Oleh itu, walaupun kita memberi tumpuan kepada pembaharuan jangka pendek untuk PRU14, adalah penting untuk mengutamakan pembaharuan jangka panjang sekarang juga dengan mengadakan perundingan untuk merancang ke arah perubahan sistem pilihan raya kita.
SPR dan kerajaan persekutuan mesti memulihkan kepercayaan orang ramai pada hak demokratik kita yang paling asas, dan mesti berusaha untuk menyamai atau mencatatkan keputusan yang lebih baik daripada rekod keluar mengundi *85 peratus pada pilihan raya umum sebelumnya.
Sila bermula dengan menyetujui tuntutan kami.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Induk BERSIH 2.0
Memorandum kami dapat dicapai di bersih.org/ge14-electoral-reforms-memo
*Diperbetulkan