English version
Klik sini untuk mendapatkan memorandum penuh
Pertahankan Undi Anda!
Rakyat Malaysia bakal menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang berat sebelah, dan penuh dengan penipuan dan korupsi. Adalah penting untuk Suruhanjaya Pilihan Raya dan Kerajaan Persekutuan mengambil langkah untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem pilihan raya di Malaysia. Memorandum ini menggariskan langkah-langkah penambahbaikan yang boleh dilaksanakan dalam tempoh masa 10 bulan, sebelum Parlimen wajib dibubarkan pada June 2018.
Korupsi Pilihan Raya
Buat masa ini, tiada sebarang undang-undang atau rangka yang sedia ada untuk mengawal pendapatan dan perbelanjaan parti-parti politik. Selain itu, tiada juga sebarang undang-undang pilihan raya yang secara jelas melarang penggunaan jentera dan asset kerajaan untuk kempen pilihan raya. Rasuah, penjamuan, dan politik wang terus berleluasa semasa pilihan raya, dan penguatkuasaan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak polis adalah lemah sama sekali.
Cadangan Reformasi
- SPR (yang bebas dan adil) mengambil alih tugas pendaftaran dan kawal seliaparti-parti politik.
- Undang-undang baru diperlukan untuk mengawal pendapatan, had perbelanjaan, dan laporan sumber pendapatan dan perbelanjaan parti-parti politik.
- Wakil-wakil rakyat yang dipilih perlu mengistiharkan aset-aset mereka sebelum mengambil tugas
- Pasukan Penguatkuasa yang ditubuhkan di bawah Seksyen 27 Akta Kesalahan Pilihan Raya perlu dilengkapi dengan sumber, latihan, dan mandate untuk menguatkuasakan undang-undang pilihan raya. Segala laporan tentang rasuah dan korupsi haruslah disiasat oleh Pasukan Penguatkuasa.
- Suatu Kod Tatalaku Kerajaan Sementara (Caretaker Government) perlu dilaksanakan dan penggunaan jentera dan sumber-sumber kerajaan untuk tujuan kempen pilihan raya harus dijadikan suatu kesalahan pilihan raya.
Daftar Pemilih
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Pendatang Asing di Sabah telah mengesahkan kewujudan pengundi bukan warganegara dalam Daftar Pemilih. Analisa oleh Projek Analisis Daftar Pemilih Malaysia (MERAP) juga mendapati pelbagai keraguan dalam Daftar Pemilih, seperti pengundi-pengundi dengan nama yang sama, tarikh lahir yang sam, dan nombor kad pengenalan yang hampir identikal, ramai pengundi yang didaftarkan dalam suatu alamat yang sama, dan pengundi yang disenaraikan sebagai pengundi biasa dan pengundi pos pada masa yang sama dalam daftar pemilih.
Cadangan Reformasi
- Memansuhkan Seksyen 9A Akta Pilihan Raya 1958 untuk membenarkan Daftar Pemilih dicabar di mahkamah
- Pengubahsuaian atau percubaan untuk menambah pengundi ke dalam daftar pemilih secara tidak sah harus dijadikan suatu kesalahan pilihan raya
- Menubuhkan suatu Jawatankuasa Audit Daftar Pemilih yang bebas
Pengundi Tidak Hadir
Maklumat tentang cara-cara pendaftaran dan permohonan untuk pengundi luar negara adalah amat terhad. Terdapat juga isu berkaitan dengan syarat kelayakan, penyimpanan dan pengangkutan peti undi untuk pengundian awal, akses untuk ejen pengundian dan ejen pengiraan (PACA), dan kemungkinan seseorang pengundi disenaraikan sebagai pengundi biasa dan pengundi pos.
Cadangan Reformasi
- Kelayakan sebagai pengundi tidak hadir hanya diberikan kepada anggota tentera dan polis, orang awam yang bertugas (terhad kepada tugas-tugas berkaitan dengan pilihan raya pada hari mengundi), pengundi yang di luar wilayah (iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah, atau Sarawak) pada hari mengundi, dan pengundi luar negara.
- Kelayakan untuk undi pos hanya diberikan kepada pengundi luar negara yang berada di negara yang tiada mempunyai pusat mengundi, atau pengundi yang berada 1000km dari pusat mengundi terdekat.
- Semua pengundian awal akan berlangsung satu hari sebelum hari mengundi
- Ejen pengundian, ejen pengiraan, dan ejen barong (PACABA) harus diberi akses bebas kepada semua pusat mengundi awal
- Pengiraan kertas undi dijalankan di pusat mengundi selepas tamatnya waktu pengundian awal. Untuk pengundian luar negara, undi pos dan undi awal dikira di pusat mengundi yang ditetapkan oleh SPR
- Semua pengundian awal domestik harus dijalankan di pusat mengundi awam seperti sekolah atau dewan, bukannya di kem tentera atau polis.
- Daftar pemilih yang diwartakan perlu menandakan status pengundi yang merupakan pengundi awal. Nombor kad pengenalan awam dan nombor kad pengenalan tentera/polis perlu disenaraikan bersama dalam daftar pemilih.
Persempadanan Semula yang Adil
Perlembagaan persekutuan mempunyai peruntukan yang jelas untuk memastikan persempadanan kawasan pilihan raya dilakukan dengan adil. Ini termasuk peruntukan untuk memastikan kawasan-kawasan pilihan raya mempunyai “lebih kurang sama banyak” pengundi dan hubungan tempatan terpelihara. Pada ketika ini, saiz kawasan-kawasan pilihan raya dalam sesebuah negeri mempunyai julat antara 37,000 hingga 150,000 pengundi. Ini berlaku di negeri yang maju dan terbangun seperti Selangor.
Cadangan Reformasi
- SPR harus mengkaji semula cadangan-cadangan penyempadanan semula agar ia selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mewajibkan setiap kawasan pilihan raya di dalam sesebuah negeri adalah lebih kurang sama besar.
- Untuk ukuran pewajaran yang diberikan untuk kawasan pedalaman, penyisihan saiz antara kawasan-kawasan pilihan raya haruslah ditetapkan antara +15% dan -33% daripada purata saiz kawasan-kawasan pilihan raya negeri.
- Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan haruslah dipinda agar bilangan kawasan-kawasan pilihan raya yang ditetapkan buat setiap negeri bertepatan dengan bilangan pengundi dalam sesebuah negeri itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya yang Bebas
Sungguhpun pelantikan ahli-ahli SPR dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, namun pelantikan ini dibuat atas nasihat Perdana Menteri. Ini menimbulkan keraguan terhadap kebebasan ahli-ahli suruhanjaya.
Cadangan Reformasi
- Satu Jawatankuasa Pencalonan Suruhanjaya Pilihan Raya harus ditubuhkan untuk memilih calon-calon yang sesuai. Calon-calon perlu diluluskan oleh Parlimen dan Yang di-Pertuan Agong.
- Ahli suruhanjaya tidak boleh menjadi ahli, kakitangan, atau penderma mana-mana parti politik.
- SPR perlu bertanggungjawab secara langsung kepada Parlimen dan diberi kuasa untuk mengendalikan belanjawannya sendiri. Suatu Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) perlu ditubuhkan untuk menerima laporan daripada SPR.
Pemantauan Pilihan Raya
Semasa PRU ke-13, proses pemantauan pilihan raya adalah sangat terhad. Pemantau-pemantau yang dilantik oleh SPR tidak dapat memantau proses pengundian pos dengan menyeluruh. Pada hari mengundi pula, pemantau-pemantau tidak dibenarkan berada dalam bilik membuang undi dan mereka juga dilarang memilih secara bebas lokasi untuk membuat pemantauan. Hanya tiga pemantau dibenarkan untuk setiap kawasan parlimen.
Cadangan Reformasi
- Pelantikan pemantau pilihan raya hendaklah dilakukan melalui proses permohonan yang terbuka kepada orang awam. Pelantikan pemantau haruslah berdasar kepada sumber dan pengalaman mereka dalam pemantauan. Semua pemantau pilihan raya hendaklah bersifat non-partisan dan tidak boleh mempunyai pembabitan aktif sebagai ahli ataupun penderma parti politik
- Pemantau harus mempunyai masa dan sumber yang secukupnya untuk memantau proses pilihan raya secara menyeluruh.
- Pemantauan yang menyeluruh dari segi kawasan di seluruh negara haruslah dibenarkan, di mana pemantau domestik dan luar negara bebas memerhatikan kawasan-kawasan yang dipilih.
- Laporan pemantauan harus dibuat umum.
Pendaftaran Pengundi Secara Automatik
Setakat Mac 2017, terdapat lebih 4 juta warganegara Malaysia yang layak menjadi pengundi tetapi tidak mendaftar sebagai pengundi. Rakyat yang layak sebagai pengundi harus didaftarkan secara automatik apabila mencapai umur 21 tahun. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah mempunyai data yang diperlukan untuk tujuan ini.
Tempoh Berkempen Minimum 21 Hari
Tempoh berkempen yang lebih panjang akan memberi lebih banyak masa kepada para pengundi untuk mengumpulkan maklumat dan membuat keputusan terhadap pilihan calon mereka. Seseorang pemilih pada lazimnya memerlukan sekurang-kurangnya masa tiga minggu untuk membuat penilaian terhadap calon-calon.
Akses kepada Media yang Bebas dan Adil Sepanjang Tempoh Berkempen
SPR harus mengemukakan suatu Kod Tatalaku Pihak Media semasa pilihan raya, melalui konsultasi dengan pihak media, wartawan-wartawan, dan juga masyarakat madani. Kod Tatalaku ini harus merangkumi liputan dan peluang yang sama rata kepada semua calon, penyebaran berita berdasarkan fakta, kesaksamaan dan kebebasan, dan menolak sogokan, bantuan, atau layanan istimewa daripada calon-calon atau wakil mereka.
Klik sini untuk mendapatkan memorandum penuh
Disediakan oleh:
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil
BERSIH 2.0
April 2017