BERSIH 2.0 melancarkan kempen untuk menuntut pembaharuan sistem pengundian luar kawasan. BERSIH 2.0 menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kerajaan Persekutuan untuk meminda peraturan yang sedia ada untuk membolehkan pengundi Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung Malayasia dan pengundi Semenanjung Malaysia yang menetap di Sabah dan Sarawak untuk didaftarkan sebagai pengundi luar kawasan.
Pembaharuan ini diperlukan dengan segera, sebagaimana yang pernah disyorkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya pada tahun 2011.
BERSIH 2.0 menganggarkan terdapat lebih daripada 150,000 pengundi Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung Malaysia. Dalam setiap pilihan raya, pengundi-pengundi tersebut perlu membelanjakan ratusan ringgit dan mengambil masa untuk pulang dan mengundi di kawasan asal mereka.
Kesulitan ini mengakibatkan peratusan keluar mengundi yang lebih rendah dan ia merupakan halangan besar terhadap hak mengundi sejumlah besar pengundi. Hakikatnya, peratusan keluar mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 di Sabah dan Sarawak adalah lebih rendah berbanding kawasan lain.
Pelaksanaan pengundian luar kawasan bukan sahaja akan meningkatkan peratusan keluar mengundi, malah ia merupakan peluang bagi kerajaan dan SPR untuk menunjukkan bahawa mereka bersungguh untuk menunaikan hak mengundi semua rakyat Malaysia dalam PRU14.
BERSIH 2.0 telah menyediakan cadangan yang lengkap tentang pengundian luar kawasan untuk dilaksanakan secara selamat dan telus, dan cadangan tersebut telah dikemukakan kepada SPR pada Mei 2017 dan kepada Menteri Datuk Paul Low pada Julai 2017. Malangnya, tiada respons yang diterima sehingga kini.
Cadangan pembaharuan tersebut termasuk perubahan dalam sistem pengundian awal dan pengundian pos untuk menyelaraskan proses-proses tersebut, dan untuk memastikan penipuan tidak berlaku dalam penyimpanan dan pengangkutan undi.
BERSIH 2.0 menggalakkan para pengundi menandatangani petisyen atas talian kami untuk menyokong pembaharuan ini di http://tiny.cc/undiluarkawasan. Rakyat Malaysia juga boleh menghubungi menteri dan ahli parlimen di media sosial untuk supaya mereka memberi respons kepada cadangan ini dengan hashtag #UndiLuarKawasan.
Dikeluarkan oleh:-
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0