KENYATAAN MEDIA (11 OKTOBER 2017): Akta Perhimpunan Aman Harus Menggalakkan Hak Berhimpun; Bukan Menyekat Kebebasan Demokratik

[Baca kenyataan ini dalam Bahasa Inggeris]

BERSIH 2.0 kecewa dengan respon Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, yang enggan membenarkan perhimpunan Anti Kleptokrasi diadakan di Taman Padang, Petaling Jaya. Sebab yang dikemukakan oleh IGP adalah kurang memuaskan dan beliau gagal memahami bahawa walaupun notis pemberitahuan diberi kepada polis dalam tempoh 10 hari di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, pihak polis tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan tempat atau memberi kata putus sama ada perhimpunan tersebut akan diteruskan atau tidak. Peranan mereka adalah untuk memfasilitasi dan melindungi hak berhimpun secara aman, dan bukan menjenayahkan hak ini.

Hari ini, BERSIH 2.0 menang di Mahkamah Persekutuan dalam kes rayuan Peguam Negara untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang telah menolak tuduhan terhadap Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah di bawah Akta Perhimpunan Awam (PAA). Ini sepatutnya menghantar isyarat positif kepada pihak berkuasa dalam isu hak berhimpun secara aman.

Hak Berhimpun secara aman adalah sebahagian penting dalam proses demokrasi yang lebih luas di Malaysia. IGP dan Kerajaan Malaysia perlu mendengar dan menerima tuntutan sah rakyat, dan bekerjasama menangani isu-isu kritikal serta memperbaik taraf hidup rakyat di Malaysia. Dasar-dasar kerajaan yang bernas hanya dapat dicapai dengan penglibatan dan penyertaan rakyat.

BERSIH 2.0 menggesa Ketua Polis Negara (IGP) untuk membenarkan perhimpunan Anti Kleptokrasi pada Sabtu ini diteruskan, dan memfasilitasikan perhimpunan tersebut. Tan Sri Mohamad Fuzi Harun kini berada berpeluang untuk  mengubah pendekatan PDRM terhadap perhimpunan awam, berbanding dengan pendekatan kuku besi yang didukung oleh bekas IGP yang mengharamkan pelbagai perhimpunan awam yang lalu.

IGP telah membuktikan bahawa pihak polis bersedia untuk perubahan melalui pengiktirafan hak rakyat untuk berhimpun di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 seperti yang dilihat pada perhimpunan ‘Wanita Bantah Politik Toksik’ pada bulan lepas. Dalam nada yang sama, perhimpunan yang akan diadakan pada hari Sabtu di Taman Padang, Petaling Jaya tidak sepatutnya dilayan dengan pendekatan berbeza.

Kami menyeru semua warganegara untuk menghadiri Perhimpunan Anti-Kleptokrasi pada hari Sabtu, 14 Oktober 2017 dan berdiri teguh membantah penindasan hak dan kebebasan berhimpun secara aman.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0