Genap 1 tahun 4 hari yang lalu (18 November 2016), pejabat BERSIH 2.0 diserbu dan digeledah oleh sepasukan polis dari Bukit Aman. 10 unit komputer riba, 2 unit telefon bimbit dan beberapa dokumen dirampas.
Saya kemudiannya ditahan di bawah akta zalim SOSMA selama 11 hari, manakala 14 yang lain telah ditahan di bawah akta yang berbeza.
Hari ini, pihak polis telah membuat keputusan untuk mengembalikan semua barang yang telah dirampas kepada BERSIH 2.0 di IPD Dang Wangi sebentar tadi.
Pihak polis Bukit Aman telah memaklumkan bahawa segala siasatan terhadap BERSIH 2.0 dan saya telah ditutup.
Lebih menarik lagi, saya difahamkan oleh pihak polis bahawa pemulangan barangan rampasan tersebut adalah atas arahan Jabatan Peguam Negara.
Justeru terbukti bahawa penahanan saya di bawah SOSMA adalah langsung tidak mempunyai asas, bahkan hanyalah tindakan untuk menakut-nakutkan saya, keluarga dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, demokrasi dan keadilan.
Semua fitnah dan dakwaan yang telah direka dan diada-adakan terhadap BERSIH serta NGO-NGO di bawahnya, selain saya sendiri terbukti palsu, tidak benar dan dusta belaka.
Perjuangan demi pilihan raya yang bebas dan adil, kerajaan bersih, hak membantah, mempertahan demokrasi berparlimen dan memperkukuh Sabah & Sarawak akan terus menjadi jalur perjuangan BERSIH untuk Malaysia Baru.
Saya ingin memberi penegasan bahawa BERSIH tidak akan sama sekali tunduk terhadap apa sahaja bentuk intimidasi sebegini, dan akan terus komited untuk mencapai segala tuntutan yang telah diperjuangkan.
Kita tidak perlu takut, kerana kita berada di pihak yang benar. Rakyat Malaysia harus berani untuk menyatakan kebenaran, dan menentang penipuan yang memberi kelebihan kepada pihak-pihak tertentu.
Saya justeru ingin menyeru mereka yang masih belum mendaftar sebagai PEMANTAU, untuk sama-sama berganding bahu dalam perjuangan BERSIH dan berdaftar di pemantau.org/daftar/.
Dikeluarkan oleh,
Maria Chin Abdullah
Pengerusi BERSIH 2.0