KENYATAAN MEDIA (30 JANUARI 2018): Pemantauan PRU – Jangan Takut Jikalau Tiada Penipuan

 
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjemput pemantau antarabangsa dan dalam negeri dengan hati yang terbuka, kalau ia akan menjalani pilihan raya umum (PRU) dengan bersih, bebas, adil dan berwibawa.
Pemantauan membina keyakinan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa terhadap integriti dan kebolehpercayaan pilihan raya. Ini teramat penting jika keputusan pilihan raya terlalu hampir sama antara pihak yang bertanding ataupun dicemari dengan pelbagai dakwaan penipuan dan salah laku.
Maka, membenarkan pemantauan PRU adalah seperti membeli insuran untuk keabsahan (legitimacy) PRU, baik untuk demokrasi Malaysia dan SPR. Jika pemantau antarabangsa mengesahkan proses PRU itu bersih, bebas dan adil, dan keputusan PRU boleh diterima, maka tidak kira walauapapun keputusan PRU, rakyat akan menerimanya. Ini penting untuk kestabilan politik selepas pilihan raya.
Jikalau SPR dengan degilnya menolak Pemantauan antarabangsa dan dalam negeri, apakah Pengerusi SPR Tan Sri Hashim Bin Abdullah sanggup memikul tanggungjawab terhadap sebarang ketidakstabilan politik dan ekonomi selepas pilihan raya?
Pepatah melayu ada mengatakan, “berani kerana benar, takut kerana salah”. BERSIH 2.0 mencabar SPR untuk menjemput pemantau antarabangsa dan membenarkan pemantau dalam negara kepada badan-badan yang bebas jikalau SPR benar-benar yakin dengan kebersihan dan keadilan proses pilihan raya di Malaysia.
BERSIH 2.0 juga terkejut dengan kenyataan Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga merangkap Menteri Pendidikan, yang telah menyatakan bahawa kehadiran pemantau pilihan raya umum antarabangsa tidak diperlukan kerana sistem PRU yang digunapakai hampir sama dengan sistem di negara-negara lain.
Kenyataan beliau jelas menunjukkan kecetekkan pemahaman beliau terhadap demokrasi dan proses pilihan raya. Hari ini, pemantauan pilihan raya adalah satu “amalan terbaik” (best practice) pilihan raya di seluruh dunia. Cuma negara yang tidak demokratik akan menghalang pemantauan atau memanipulasi operasi pemantauan.
Beliau harus sedar, rakyat terhadap institusi-institusi kerajaan dalam hak undi semakin berkurangan hari demi hari. Ini kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak dapat melaksanakan mandatnya dengan baik bersih, bebas dan adil, terutamanya dalam isu persempadanan semula yang berat sebelah dan tidak sekata, pembersihan daftar pemilih, pemindahan pengundi secara besar-besaran ke kerusi marginal dan hal pemanipulasian undi pos dan undi awal.
Negara-negara seperti Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Nepal, Kenya, Myanmar, Filipina dan banyak lagi adalah contoh negara-negara yang mengamalkan sistem pilihan raya yang hampir serupa dengan Malaysia. Negara-negara ini membenarkan pemantauan pilihan raya kerana, mereka faham akan keperluan menjaga dan memelihara integriti PRU di negara mereka. Bahkan ini juga menunjukan keterbukaan negara-negara tersebut untuk belajari dari lemahan yang sedia ada ke arah sebuah sistem yang lebih cekap dan berkesan. Suka kami mengingatkan Datuk Seri Mahdzir Khalid bahawa, Malaysia sendiri pernah menjemput badan bebas daripada luar negara untuk memantau PRU di Malaysia sekitar tahun 90’an.
Pemantauan pilihan raya adalah asas sebuah demokrasi yang progresif. Sejak dua dekad yang lepas, jutaan rakyat dari lebih 90 buah negara telah membenarkan pemantauan pilihan raya secara sah dan secara bebas.
Oleh itu, BERSIH 2.0 telah melancarkan inisiatif pemantauan PRU secara bebas, PEMANTAU. Kami percaya bahawa PRU hanya mungkin bersih, bebas, adil dan berwibawa sekiranya rakyat secara kolektif menyuarakan dan melindungi hak mereka melalui usaha-usaha seperti ini, di mana sesiapa sahaja boleh melaporkan insiden berkenaan kesalahan dan penipuan pilihan raya di laman web PEMANTAU (pemantau.org).

#SatukanTenagaKalahkanPenipuan

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0